Campuran Dua Vaksin Masih Dikaji – Khairy

KUALA NERUS, 17 Jun – Kerajaan masih mengkaji dan mempertimbangkan kaedah campuran atau ‘mix and match’ vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, bagi melengkapkan dua dos vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut telah pun dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dua minggu lepas, namun setakat ini keputusan mengenai kaedah campuran vaksin itu belum dimuktamadkan.

“(Campuran vaksin) Masih lagi dalam kajian dan kita bentangkan di JKJAV dua minggu lepas, tetapi belum dimuktamadkan lagi oleh jawatankuasa kerja teknikal kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak di Kompleks Sukan Negeri di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi melalui sesi webinar yang dihoskan oleh ‘Oxford and Cambridge Society of Malaysia’ semalam dilaporkan berkata, terdapat beberapa data ‘real-world’ yang diterima dari Jerman, mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer untuk dos kedua, yang telah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Terengganu akan menerima lebih 200,000 dos lagi bekalan vaksin COVID-19 mulai bulan depan, dan ia sekali gus membolehkan kadar suntikan di negeri ini mencapai 12,000 dos sehari.

“Sudah pasti kita akan meningkatkan lagi penghantaran vaksin ke Terengganu, terutama bermula bulan Julai. Kita akan bincang selepas ini, tetapi dijangkakan lebih daripada 200,000 dos akan kita hantar,” katanya.

Sebelum ini Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata, ketika ini sebanyak 5,380 suntikan harian COVID-19 diberikan kepada rakyat Terengganu, melalui 14 PPV seluruh negeri.

Sementara itu Khairy berkata pihaknya akan berbincang untuk menghantar pasukan ‘Mobile Outreach’ untuk proses vaksinasi kepada penduduk di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

“Mengenai vaksin dos tunggal yang akan kita hantar ke Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman, mungkin penempatan di pulau juga adalah pilihan untuk kita hantar,” katanya.

Turut hadir pada lawatan tersebut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, Exco Kesihatan Negeri Dr Alias Razak dan Dr Nor Azimi.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.