Moratorium Pukal Tanpa Faedah, Bank Juga Harus Berkorban

KUALA LUMPUR, 15 Jun – ‘Total lockdown’ sudah bersambung dua minggu lagi namun moratorium pukal tanpa faedah masih tidak kesampaian, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, rakyat berkorban demi Malaysia yang lebih kuat dalam melawan pandemik sewajibnya bank juga harus berkorban.

“Laporan 2020 juga mendedahkan bank masih lagi untung tatkala ada dalam kalangan rakyat yang sudah kehilangan segala.

“Sektor pelancongan masih tutup, kedai makan juga banyak gulung tikar. Apa salahnya bank turut berkorban.

“Bukan batalkan tetapi tangguhkan pembayaran tanpa caj. Kita tahu Menteri Kewangan beri alasan tiada kuasa walhal Akta 701 dan Akta 758 serta Ordinan Darurat boleh digunakan bagi menekan pihak bank,” gesanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, moratorium adalah langkah penting di kala kemerosotan ekonomi di mana terdapat dua isu penting boleh ditangani secara mudah.

“Pertama adalah kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan. Moratorium tidak menambah pendapatan tetapi memberi kelegaan jangka pendek dari kehilangan aset ataupun apa-apa tekanan institusi kewangan.

“Setidaknya rumah dan kereta boleh diguna dengan tenang sementara. Harus diingat tekanan kewangan boleh akibatkan ‘stress’, ‘panic attack’ serta membuatkan kegusaran ditanggung rakyat.

“Golongan kedua adalah yang ada pendapatan namun berkurangan. Moratorium memberi duit lebih di tangan untuk berbelanja,” ujarnya.

Ulasnya lagi, perbelanjaan ini masuk dalam kitaran ekonomi dan membolehkan lebih ramai sektor bergerak.

“Hasilnya kerajaan mendapat cukai dari transaksi ini.

“Gunakanlah kuasa untuk rakyat. Bukan untuk kekalkan jawatan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.