10 Peratus Unit PPR Bagi Penempatan Sementara Mangsa Kebakaran Di Sabah – Shahelmey

KOTA KINABALU, 15 Jun – Kerajaan negeri Sabah disarankan agar memperuntukkan 10 peratus daripada jumlah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai tempat tinggal sementara bagi memenuhi keperluan rakyat yang berdepan kes kecemasan terutama kebakaran.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata cadangan itu boleh dijadikan dasar agar dapat menyediakan unit-unit kosong di setiap daerah sebagai tempat tinggal sementara sebelum mangsa kebakaran memiliki rumah sendiri.

“Kita tidak mempunyai pusat kebajikan yang boleh menempatkan (mangsa kebakaran) secara tetap atau sementara dalam tempoh panjang. Jika ada unit kosong disediakan di PPR, ia boleh digunakan untuk kes-kes kecemasan.

“Kalau bencana banjir, PPS (pusat penempatan sementara) mencukupi dan apabila banjir sudah surut mangsa boleh pulang ke kediaman masing-masing. Namun berbeza dengan bencana kebakaran kerana mangsa memerlukan masa agak lama untuk menguruskan pembinaan semula rumah.

“Justeru, dengan adanya inisiatif menyediakan unit-unit PPR kosong ini, ia akan dapat membantu mangsa-mangsa kebakaran yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan B40 untuk tinggal di sana sementara waktu dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya kepada Bernama.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat itu berkata kebanyakan unit PPR di Sabah terutama di Putatan ketika ini telah diisi sepenuhnya dan ini menyukarkan pihak pengurusan bencana daerah menguruskan mangsa kebakaran selepas tamat tempoh penempatan di PPS.

Beliau berkata PPS akan beroperasi mengikut prosedur selama tiga hari selepas diaktifkan bagi menempatkan mangsa terlibat dengan bekalan makanan serta tempat tidur disediakan, dan sekiranya tempoh itu dilanjutkan, mangsa akan menyediakan dan memasak sendiri makanan.

Shahelmey berkata kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM1.23 juta bagi memenuhi keperluan mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS.

Mengulas isu kebakaran perkampungan atas air di Sabah, Shahelmey berkata kebanyakan struktur binaan rumah di kawasan terbabit adalah tidak kekal kerana dibina menggunakan kayu yang sekali gus mengundang risiko terjadi kebakaran besar.

Beliau berkata kebanyakan penempatan atas air juga dibina di atas tanah rizab kerajaan, dengan penduduk membina rumah tanpa kawalan dan tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Insiden kebakaran terbaru membabitkan perkampungan atas air berlaku di Kampung Tanjung Aru, di sini, pada 25 Mei lepas, yang memusnahkan 33 rumah dan 216 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari kebakaran di perkampungan atas air di Putatan dilaporkan iaitu di Kampung Meruntum yang menjejaskan 221 mangsa apabila 35 rumah musnah terbakar pada 15 Mei.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata sebanyak 768 rumah di perkampungan atas air di seluruh negeri itu musnah dalam kebakaran bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini melibatkan 6,144 mangsa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 181 rumah atas air direkodkan musnah dalam kebakaran antara Januari hingga Mei tahun ini yang menjejaskan 1,448 penduduk, katanya.

Beliau berkata JBPM Sabah turut menganggarkan lebih RM21 juta kerugian dialami penduduk akibat kebakaran di perkampungan atas air dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dengan kira-kira RM5 juta daripada jumlah itu direkodkan tahun ini.

Penempatan perkampungan atas air sudah wujud sejak sekian lama di beberapa kawasan pesisir pantai di Sabah dengan taburan rumah dianggarkan kira-kira 22,000. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.