Isu Tasik Chini :  Tidak wajar Untuk Mendakwa Kerajaan Negeri  Mungkir Janji – Farid

KUALA LUMPUR, 14 Jun –  Isu aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini  begitu hangat diperkatakan sehinggakan berita yang berbentuk positif seperti pertambahan pusat vaksin di Negeri Pahang, kenaikkan jumlah penduduk yang telah mendaftar untuk divaksin dan bantuan-bantuan kerajaan negeri kepada pelbagai golongan yang terjejas akibat pandemik melayang di bawa angin lalu.

Begitu juga kejayaan rakyat negeri ini memerangi penularan covid yang kini menunjukkan penurunan angka yang ketara, tidak diberi perhatian. Sebagai Ketua Pemuda Negeri Pahang, tentulah saya harus respons kepada isu ini, lebih lagi melibatkan beberapa institusi yang dekat dengan saya, kata Mohd Farid Mohd Noor.

Jelas Farid lagi, masa yang di ambil itu sebenarnya adalah untuk membolehkan pihaknya meneliti pelbagai tulisan dan dokumen berkaitan, malah mendapat informasi sebenar melalui siri-siri taklimat yang diberikan oleh aktivis alam sekitar seperti Prof. Maketab Mohamed, Saudara Laili Basir dari Hugs Project dan beberapa orang saintis dari Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC UKM).

“Realiti dan tanpa penafian, aktiviti perlombongan wujud di sekitar Tasik Chini. Ada yang hampir dan ada yang jauh namun masih berada di dalam mukim yang sama. Aktiviti ini diakui memberi kesan kepada tasik tersebut. Selain daripada perlombongan, terdapat satu pusat latihan yang sedang dalam pembinaan terlihat dari gambar yang viral diambil pada tahun 2019. Harus dijelaskan, bukanlah keseluruhan gambar itu menunjukkan bahawa aktiviti perlombongan sedang berjalan. Berdasarkan tinjauan dan atas hasrat untuk mengekalkan status tasik tersebut sebagai Kawasan Rizab Biosfera UNESCO, tindakan pemulihan perlu dilaksanakan.

“Namun untuk lebih adil, fakta berikut perlu diambil kira pertamanya daripada 14 konsesi perlombongan yang telah dikeluarkan, hanya tinggal dua yang masih beroperasi. Difahamkan baki kedua-dua konsesi ini akan tamat tahun hadapan. Adalah lebih baik menunggu konsesi tamat berbanding menamatkannya kerana ianya mampu membawa implikasi undang-undang yang panjang. Pada 2019, sejumlah 4600 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan.

“Pihak PPTC UKM mencadangkan agar keluasan ini dipertingkat sehingga mencapai 7000 ekar. Secara peribadi saya berpandangan cadangan ini harus diteliti oleh kerajaan negeri jika ianya tidak melibatkan kawasan tanah persendirian dan juga tanah milik felda berhampiran,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Farid lagi, ketiganya kKualiti air tasik adalah baik dan hidupan air seperti ikan masih wujud di dasarnya, pihak PPTC UKM turut menyediakan sangkar ikan bagi memantau sama ada ikan boleh hidup atau tidak di sana. Namun kehadiran memerang yang menjadikan ikan sebagai sumber protein kini agak sukar dilihat.

Seterusnya jelas beliau lagi  usaha konservasi atau pemulihan hutan telah dimulakan pada 18-30 November 2019 di beberapa lokasi yang telah tamat konsesi. Saiz pokok yang masih kecil menyebabkan ianya tidak dapat dilihat dari udara dam sejak Mac 2019, tiada konsesi baru diluluskan di sekitar tasik.

“Melihat kepada fakta-fakta di atas, adalah tidak wajar untuk mendakwa kerajaan negeri ini memungkiri janjinya untuk melaksanakan pemulihan  Tasik Chini yang dibuat pada 2019,dan telah diulang komitmennya sekitar Julai 2020. (Ketika isu Tasik Chini dijadikan bahan kempen PRK ketika itu). Lebih daripada Tasik Chini, komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan hutan dan alam sekitar terus dipelihara, dibuktikan dengan sehingga hari ini, Pahang masih mengekalkan kira-kira 57.07% daripada guna tanah keseluruhannya untuk hutan, yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.

“Ianya bukan sahaja memberi faedah kepada Pahang, malah negeri-negeri berjiran dengannya dengan merezabkan kawasan tadahan air yang sangat luas dan tidak boleh diterokai. Selebihnya, untuk rakyat negeri ini membangunkan kediaman, bercucuk tanam, mencari rezeki dan membina ekonomi.

“Aktiviti penerokaan sumber alam sebagai salah satu punca ekonomi pastinya sukar dielakkan, lantai yang dipijak, bumbung untuk berteduh, dinding untuk kita bersandar, kenderaan untuk bergerak, bekalan elektrik untuk kita menonton televisyen, gas untuk memasak, kenderaan untuk bergerak serta gajet yang digunakan ketika ini semuanya berasal dari alam.

“Namun mengurusnya dengan baik adalah tanggung jawab kita sebagai manusia, yang telah diamanahkan untuk menjadi khalifah di muka bumi, serta memastikan generasi akan datang tetap dapat menikmati kehidupan seperti mana yang kita nikmati hari ini. Tidaklah tulisan ini berhasrat untuk menyatakan kritikan anda kepada kami salah, namun berilah kami sedikit keadilan dan ruang masa untuk pemulihan,” tambahnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.