Falsafah Penubuhan, Kedinamikan Politik Bukti BN Kekal Relevan, Dominan Pejuang Rakyat – Zambry

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggariskan dua aspek utama yang menjadi tonggak kepada BN kekal relevan dalam senario politik negara.

Jelas beliau aspek pertama adalah melihat kembali falsafah penubuhan yang menjadi tulang belakang kepada sesuatu parti untuk kekal berupaya dalam memberikan manfaat kepada rakyat.

“Adakah penubuhan parti yang diwujudkan itu sesuai dengan konteks sesebuah negara?

“Maka kalau kita lihat falsafah penubuhan BN itu saya ingin menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa BN itu masih relevan dalam konteks negara Malaysia,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, landskap politik yang berubah-ubah juga memainkan peranan yang sangat signifikan kepada BN.

Katanya, disebabkan kedinamikan politik hari ini BN memerlukan satu anjakan baharu di mana gabungan ini juga menjadi sebahagian daripada pemain yang berada di tengah-tengah kancah politik.

“Pada hari ini masyarakat bercakap tentang landskap politik yang baharu maka tentunya perkara yang kedua ini BN perlu melakukan anjakan bagi memberikan jawapan kepada masalah yang kita hadapinya pada hari ini.

“Kalau kita lihat BN itu adalah satu prinsip penubuhan parti yang berteraskan kerjasama. Lantaran itu kalau kita lihat ada parti-parti lain yang ingin menjadi alternatif kepada BN dan mereka juga mencuba untuk membentuk seperti mana BN.

“Pakatan Harapan (PH) cuba membentuk seperti mana BN, asas dan falsafahnya seperti BN tetapi mereka tidak dapat berada dalam posisi yang begitu lama, hanya 22 bulan sahaja,” kata beliau.

Ujar Zambry, sokongan ahli-ahli Parlimen BN yang membawa kepada terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga melambangkan bahawa gabungan ini memainkan peranan penting kepada struktur politik hari ini.

“Maknanya kalau apa yang saya sebutkan pada hari ini adalah untuk menjawab sama ada BN masih relevan atau tidak… jawapannya adalah ya.

“Kerana dari segi struktur dan falsafahnya ya, namun dalam masa yang sama kita perlu memberi jawapan kepada landskap politik yang berada di hadapan kita iaitu di situ memerlukan perubahan daripada BN,” tegas beliau.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu lagi, BN telah berhadapan dengan pelbagai cabaran temasuklah kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu serta pada masa yang sama dengan tindakan beberapa parti komponen yang meninggalkan BN.

“Inilah perkara yang sedang kita bincangkan kalau kita sedang berkuasa maka kita mempunyai pelbagai parti yang datang bersama-sama untuk kita membina dan mentadbir negara namun apa yang berlaku pada PRU14 yang lalu maka kita melihat ada dalam kalangan parti-parti gabungan telah mengambil jalan mereka sendiri.

“Walau bagaimanapun BN tetap perlu ada sebagai sebuah badan bagi membentuk sebuah parti yang menjadi gabungan yang minimanya adalah dua buah parti,” ujarnya.

Katanya, namun pada ketika ini BN masih lagi menerima dokongan yang hebat di bawah empat parti utama di samping Friends of BN yang menyokong dan kekal berpegang kepada agenda perjuangan kepada rakyat.

“Kita ketika ini mempunyai parti yang sejak awal penubuhannya masih kukuh berdiri bersama-sama bagi meneruskan perjuangan BN ini iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah. Dari segi jumlah mungkin ada yang menyatakan kekuatan BN itu tidak ada tetapi ada satu aspek yang mustahak juga adalah dalam konteks Friends of BN.

“Inilah bagi saya mempunyai satu bentuk struktur yang lebih besar maksudnya yang pertama parti-parti utama dan keduanya yang berada di kelilingnya iaitu Friends oF BN.

“Jadi pada hemat saya walaupun kita mempunyai empat parti utama namun dari segi lingkungannya kita dikelilingi oleh Friends Of BN yang turut sama memberikan kekuatan baharu kepada kita,” ujar beliau lagi.

Terdahulu Dr Zambry dilantik sebagai Setiausaha Agung BN baharu dalam satu kenyataan media oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN yang diadakan secara maya pada Selasa.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang telah menarik diri daripada jawatan terbabit bagi menumpukan tugas kepada jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional.– UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.