Nahas Tren LRT: J/K Siasatan Saran 23 Cadangan Penambaikan

PUTRAJAYA, 10 Jun – Sebanyak 23 cadangan penambahbaikan harus dilaksanakan secepat mungkin oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Rapid Rail susulan insiden nahas dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara, 24 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata cadangan penambahbaikan disarankan oleh Jawatankuasa Siasatan itu melibatkan lima cadangan yang perlu dilakukan dalam masa tiga bulan, 11 cadangan dalam masa antara tiga dan enam bulan, dan tujuh penambahbaikan dalam masa lebih dari enam bulan.

“Kementerian (Pengangkutan) akan mengaudit kemajuan penambahbaikan ini secara berkala,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini bagi mengumumkan hasil laporan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat insiden pelanggaran tren LRT.

Dalam insiden 8.33 malam pada 24 Mei lepas, sebuah tren LRT tanpa penumpang bertembung dengan sebuah tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC.

Untuk penambahbaikan jangka pendek, Wee berkata dua pemandu atau hostler ditetapkan untuk mengendalikan tren secara manual ketika dalam terowong, yang mana peranan pemandu kedua adalah sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan.

Lampu suluh berkuasa tinggi perlu dibekalkan kepada pemandu untuk memudahkan tugas mereka ketika di dalam terowong dan penyediaan senarai semak untuk kegunaan dan panduan kepada pemandu serta Pusat Kawalan Operasi (OCC) dalam mengendalikan tren secara manual ketika situasi kritikal, katanya.

Prasarana perlu menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan untuk menjalankan audit terhadap tanda arah atau penanda landasan dan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail bagi tujuan semakan serta pemantauan, katanya.

Wee berkata Prasarana dalam masa antara tiga hingga enam bulan perlu melaksanakan penambahbaikan seperti penilaian teknikal terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tren secara manual di dalam terowong bersama audit secara berkala.

Prasarana juga perlu menjalankan penilaian teknikal terhadap sistem komunikasi dan mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem yang diperlukan dan tingkatkan SOP operasi yang digunakan di OCC dengan audit berkala, katanya.

Antara lain penambahbaikan ialah menyemak SOP berkaitan tindakan dalam situasi Normal (N)/Degraded (D)/ Emergency (E) dan meningkatkan akauntabiliti pengurusan terhadap perkara berkaitan prosedur, SOP, pelan tindakan kecemasan (ERP) dan keselamatan, katanya.

Selain itu, katanya, Pelan Komunikasi SOP Prasarana dan Rapid Rail perlu ditingkatkan untuk pemahaman semua peringkat kakitangan, mengemaskini buku peraturan, manual OCC dan manual pemandu serta melaksanakan Job Safety Analysis (JSA) terhadap setiap pengambilan kakitangan termasuk kakitangan sedia ada dalam kategori ‘Safety Critical Position’ untuk kecekapan dan pengetahuan.

Wee berkata bagi tujuh penambahbaikan jangka panjang pula membabitkan kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan OCC dan pemandu, penilaian risiko terhadap pemasangan ‘stanchion’ di ‘vestibule’ di dalam tren serta simulasi untuk menguji semua SOP sedia ada dan yang telah dikemaskini.

Selain itu, perlu dilaksanakan kajian dan penilaian RAMS (Reliability, Availability, Maintainability and Safety) ke atas sistem tren dan rel Prasarana dan Rapid Rail dan meningkatkan sistem pengesanan tren elektronik untuk memastikan tren dapat dikesan dari jarak jauh apabila terjadi keadaan ‘time-out’, katanya.

“Kami mahu pengurusan atasan Prasarana melihat laporan ini serta mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan operasi tren,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan tiga mangsa yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Wee berkata kesemua sudah keluar dari ICU dan berada di wad pemerhatian.

Ketiga-tiga mangsa di bawah jagaan rapi oleh kumpulan pakar HKL dan menunjukkan proses pemulihan yang baik, katanya.

Mengenai pampasan dan tindakan mahkamah yang diambil mangsa yang terjejas, Wee berkata soal itu diserahkan kepada Prasarana dan syarikat insurans dan setiap tindakan oleh mangsa akan dihormati.

“Setiap orang ada hak buat tuntutan selepas satu insiden. Yang ini kita tidak pernah lari dan kita kena berdepan,” katanya. – BERNAMA