Johor Peruntuk RM40 Juta Beli Vaksin COVID-19 – MB

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Johor memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi cadangan pembelian vaksin COVID-19, bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan vaksin COVID-19, kata Menteri Besar Datuk hasni Mohammad.

Beliau berkata, peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 itu, akan digunakan untuk membeli vaksin yang dicadangkan sebelum ini, dengan kerjasama dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

“Inisiatif ini membolehkan pihak KPJ menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan. Secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM75 juta untuk tujuan melaksanakan empat inisiatif berkaitan pemerkasaan pengurusan pandemik, termasuk pembelian vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau mengumumkan pakej berkenaan secara dalam talian menerusi Facebook rasminya dan Facebook Makmur Johor, hari ini.

Selain itu Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan membeli sebanyak 190,000 unit kit ujian RTK Antigen, bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar, di mana inisiatif tersebut akan dilaksanakan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Saringan bersasar diperkukuhkan dengan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), akan membeli kit ujian RTK-Antigen, dengan bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang.

Selain itu, sebanyak RM20 juta akan digunakan untuk membiayai operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR), dan membiayai kebajikan petugas barisan hadapan merangkumi elaun, penyediaan makanan dan kelengkapan berkaitan, yang akan terus dilaksanakan hingga Disember 2021.

Sementara itiu, Hasni berkata kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa penasihat dalam usaha mendepani cabaran-cabaran baharu pasca COVID-19.

Menurutnya, jawatankuasa penasihat berkenaan akan diketuai oleh mantan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, yang juga merupakan Adjunct Professor di Yale University, Amerika Syarikat Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

“Jawatankuasa ini akan memperkukuhkan lagi pengurusan dan tindakan kerajaan negeri terhadap pengurusan pandemik menggunakan sains, data dan teknologi, dan kita mengakui bahawa sains, data dan teknologi, merupakan ramuan utama dalam memastikan keberkesanan usaha melawan COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Hasni mengumumkan peruntukan sebanyak RM241 juta bagi PRE Ihsan Johor 3.0, iaitu peruntukan terbesar pernah diumumkan kerajaan negeri, dalam usaha membantu masyarakat yang terkesan berikutan pandemik berkenaan.

Sebelum ini, Johor melaksanakan PRE Ihsan Johor 1.0 melibatkan peruntukan RM167.33 juta manakala PRE Ihsan Johor 2.0 melibatkan peruntukan RM109.48 juta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.