Enam Lokaliti Di Sabah, Satu Di KL Dikenakan PKPD Mulai 10 Jun – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Enam lokaliti di Sabah dan satu di Kuala Lumpur diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) bermula Khamis hingga 23 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PKPD di Sabah melibatkan Kampung Kebayau di Kota Belud; Kampung Batu Layar, Pulau Banggi (Kudat); Taman Wawasan (Beaufort); Kampung Likas (Kota Kinabalu); serta Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B, Taman Indah Jaya (Sandakan).

Di Kuala Lumpur pula melibatkan Kampung Sungai Penchala.

“Langkah ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut selain memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Ladang FGV Kalabakan Selatan, Kalabakan, Sabah dilanjutkan hingga 22 Jun, manakala PKPD di Felda Redong 1, Mukim Labis dekat Segamat, Johor yang dijadualkan tamat pada 10 Jun dilanjutkan hingga 23 Jun.

Dalam pada itu, tiga lokaliti PKPD di Tanjung Manis dekat Mukah, Sarawak iaitu Rumah Panjang Isa anak Blone, Rumah Panjang Ben anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan Telok Gelam ditamatkan esok (9 Jun) seperti yang dijadualkan.

PKPD di Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik dan Taman Desa Ranggu di Tawau, Sabah juga ditamatkan hari ini, manakala PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, dekat Tumpat, Kelantan ditamatkan esok, masing-masing lebih awal daripada dijadualkan.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata seramai 970 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 917 dikompaun, 49 direman manakala empat lagi dijamin.

Daripada jumlah itu, tiga kesalahan tertinggi ialah tiada penjarakan fizikal membabitkan 265 individu, tidak memakai pelitup muka (203) dan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis (133).

Bagi Op Benteng, seramai 21 pendatang tanpa izin ditangkap dan lima kenderaan darat dirampas, semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.