Parlimen Secara Hibrid, Catat Persidangan Penuh Sejarah Era COVID-19 – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Pelaksanaan Parlimen secara hibrid dijangka menjadi proses penuh inovatif dan bersejarah sekiranya ianya dilaksanakan, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari.

Jelas Azhari, persidangan kali ini adalah penting kerana ianya memberi peluang kepada ahli Parlimen untuk membahaskan hala tuju negara dan nasib rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Hibrid atau secara maya sepenuhnya kita buktikan kepada rakyat bahawa demokrasi berparlimen adalah sistem semak dan imbang untuk kebajikan mereka.

“Di Selangor, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pun boleh dibuka secara hibrid bagi membincangkan keperitan rakyat yang terpaksa menghabiskan masa di rumah tanpa melakukan kerja berfaedah.

“Bukan tidak boleh mengajar anak, tetapi berapa jam sahaja yang mampu dilakukan penat juga,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Azhari, tiada kebimbangan sekiranya sidang Parlimen ini dilakukan kerana sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada Februari lalu kesemua pemimpin negara termasuk ahli Parlimen telah divaksin.

“Saya melihat persidangan Parlimen, Dewan Negara dan DUN sebagai penggerak demokrasi secara terpimpin demi kemakmuran rakyat.

“Begitu juga Ahli Dewan Negara dan ADUN yang turut menerima vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

“Cuma dengarnya ramai rakan media yang masih belum divaksin, siapa pula yang akan membuat liputan sidang hibrid tersebut. Golongan media bukan ke barisan hadapan?” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.