Sidang Parlimen Secara Hidrib Atau Apa Saja… Asalkan Demokrasi Pulih Segera – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) umum sedang kaji bagaimana untuk melaksanakan persidangan Parlimen secara hibrid yang bermaksud akan ada Ahli Parlimen menyertai persidangan secara fizikal, manakala sebahagian lagi wakil rakyat akan menyertai persidangan secara maya.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata secara hibrid atau apa sahaja asalkan sistem demokrasi negara dapat dipulihkan dengan segera.

Ini kerana katanya, sudah begitu lama hak demokrasi rakyat untuk suara mereka didengari dinafikan dan tidak dipedulikan.

“Tidak mengapalah. Secara hibrid atau apa sahaja asalkan sistem demokrasi negara dapat dipulihkan dengan segera. Parlimen perlu kembali bersidang bagi mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menangani kes COVID-19.

“Dan cara untuk memulihkan ekonomi negara serta membantu rakyat yang sedang sangat terjejas,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit yang dinyatakan menerusi laman facebooknya.

Namun, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) masih musykil dengan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baru-baru ini kerana seperti menyokong supaya persidangan Parlimen terus digantung.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang sepatutnya menegakkan institusi Parlimen sebagai tonggak demokrasi terpenting.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang sepatutnya mempertahankan Parlimen sebagai badan legislatif mewakili hak rakyat dan alasan penggantungan itu disahkan oleh prinsip undang-undang dan boleh dikuatkuasakan dengan kuasa Kabinet agak culas.”

Tegasnya, Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga yang mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau membubarkan Parlimen.

“Yang di-Pertuan Agong telah lama bertitah pada Februari lalu bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat. Negara lain juga telah lama bersidang walau secara maya dan tiada bukti Covid-19 boleh tersebar melalui talian internet setakat ini.

“Jangan bimbang. Jika sekalipun kerajaan PN mahu pintu depan, pintu belakang waima pintu sisi Parlimen terus ditutup, tutup sahaja.”

Katanya lagi, asalkan sistem demokrasi berparlimen negara dikembalikan demi rakyat untuk rakyat, demi negara untuk negara, maka diharap tidaklah terlalu lama lagi untuk Parlimen bersidang kerana rakyat menunggu perkembangan seterusnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.