Mekanisme Pendidikan Tidak Boleh ‘Flip-Flop’, Perlu Ketetapan Jelas Lebih Awal – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menekankan bahawa mekanisme pendidikan tidak boleh berterusan ‘flip-flop’ sekejap buka sekejap tutup kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar membuat ketetapan yang jelas tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun dalam masa yang sama sebarang isu mengenainya harus ditangani segera.

“Sementara cuti sekolah di saat PKP ini. Kaji, fikirkan dan putuskan apa yang terbaik untuk pelajar seluruh negara. Paling penting ianya tidak membebankan ibu, bapa, pelajar dan guru.

“Apakah status sesi persekolahan yang seterusnya selepas cuti penggal selama dua minggu berakhir pada pertengahan Jun ini?” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Ini kerana katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman dibuat oleh KPM sedangkan Fasa Pertama ‘total lockdown’ sedang berlangsung sehingga 14 Jun 2021.

Soalnya, adakah murid sekolah akan diarah terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah PdPR selepas tempoh itu?

“Atau sekolah akan dibuka semula jika kes harian jangkitan COVID-19 menurun seperti yang berlaku sebelum ini sedangkan mereka para pelajar dalam masa yang sama tiada pemberian vaksin untuk mereka.

“Tapi mereka diarah ke sekolah, yang dah ambil vaksin pula duduk di rumah, tidak boleh bekerja dan bermesyuarat.

“Perlu ada satu ketetapan awal bagi membolehkan para guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya. Kerana ia melibatkan banyak perkara. Pengangkutan ke sekolah jika sekolah dibuka, peranti dan talian internet andai PdPR diteruskan dan pelbagai lagi.

Tegasnya, inilah yang menjadi dilema kebanyakan murid, guru dan ibu bapa sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Keputusan yang ‘flip-flop’. Sekejap sekolah dibuka, sekejap PdPR. Bergantung kepada situasi jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa sangat menyulitkan.

“Seorang pakar pendidikan menulis tentang persoalan itu baru-baru ini. Ramai juga yang mempersoalkannya di media. Bagi beliau melaksanakan PdPR dan kemudian bergantung sama ada kes baru meningkat sebelum PdPR disambung strategi pendidikan yang tidak berkesan.”

Jelasnya, cara itu menyebabkan sistem pendidikan negara jadi haru biru dengan momentum dan motivasi pembelajaran anak-anak dan pengajaran para guru terganggu.
“Saya sependapat dengan pandangan PdPR perlu dilaksanakan untuk satu tempoh yang munasabah tanpa mengira sama ada kes akan naik atau turun.

“Ini membolehkan pelajar dan murid sekolah serta guru lebih bersedia melaksanakan PdPR dengan efektif daripada segi fizikal dan mental,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.