Perak Laksana PPV Pandu Lalu Di Dua Lokasi Dalam Tempoh Terdekat

IPOH, 4 Jun – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu akan dilaksana di dua lokasi di Perak dalam masa terdekat sebagai permulaan bagi meningkatkan jumlah vaksinasi harian dalam kalangan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Perak sudah mengenal pasti dua lokasi bagi inisiatif PPV pandu lalu tersebut, di Stadium Indera Mulia di sini dan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya yang kedua-duanya terletak dalam daerah Kinta.

“Inisiatif ini dimulakan di Kinta memandangkan daerah tersebut mempunyai bilangan penduduk tertinggi di Perak. Kerajaan negeri yakin ia mampu meningkatkan anggaran suntikan vaksinasi harian antara 800 hingga 1,500 sehari selain mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada,” katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata PPV pandu lalu itu antara beberapa inisiatif dilakukan kerjaaan negeri untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dengan segera, dan akan turut dilaksanakan di daerah lain secara berperingkat.

Katanya kerajaan negeri menetapkan sasaran 15,000 suntikan harian di Perak pada bulan ini berbanding purata 8,000 suntikan harian pada bulan lepas, supaya program fasa kedua imunisasi dapat diselesaikan segera bagi membolehkan fasa ketiga dimulakan.

Saarani berkata menyedari antara punca ketidakhadiran penerima mengikut janji temu disebabkan faktor pengangkutan ke PPV, kerajaan negeri menyediakan lebih 80 kenderaan pelbagai jenis yang dijangka mampu membawa 1,000 orang ke PPV setiap hari.

“Inisiatif ini akan dapat memudahkan serta membantu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh orang awam terutamanya golongan yang mempunyai kesukaran pengangkutan serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Menurut Saarani, seramai 2,270 penerima yang memerlukan perkhidmatan capaian khas telah divaksin melalui inisiatif program Outreach sehingga 1 Jun lepas oleh kumpulan vaksinasi bergerak di rumah jagaan warga emas atau rumah jagaan khas, dan akan memulakan urusan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi warga emas dan OKU serta kawasan pedalaman selepas ini.

Kerajaan negeri, katanya juga bersetuju untuk melaksana program saringan RTK Antigen secara bersasar mengikut lokaliti ‘hotspot’ penularan COVID-19 berdasarkan analisis data Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang dapat membantu mengenal pasti individu positif tetapi tidak bergejala dan berisiko menularkan jangkitan sekali gus dapat membantu JKN mengesan jangkitan lebih awal dan memulakan rawatan.

Saarani berkata pihaknya juga mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan membenarkan Pharmaniaga Bhd untuk membekalkan tujuh juta dos vaksin Sinovac kepada syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sudah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya, Maju Perak untuk membeli terus bekalan vaksin daripada Pharmaniaga.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat negeri ini mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin memandangkan pada masa ini, jumlah yang sudah berbuat demikian hanya 889,680 orang atau 46 peratus daripada 1.86 juta penduduk Perak yang layak divaksinasi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.