Vaksin Kepada Syarikat Swasta, Kerajaan Negeri Pada Fasa Ketiga Dan Keempat

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pemberian vaksin kepada pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri yang mempunyai kes penularan COVID-19 yang tinggi boleh dilakukan secara serentak dalam fasa ketiga dan keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kelulusan bagi pemberian secara serentak itu dapat dilakukan menerusi pengeluaran vaksin oleh syarikat pemegang pendaftaran produk (PRH) iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

“Kita benarkan kawasan-kawasan wabak atau kadar insiden tinggi diberikan vaksin menerusi kaedah kerajaan negeri, GLC atau swasta untuk memberikan vaksin serentak dalam fasa yang disebutkan selepas fasa pertama iaitu barisan hadapan selesai mendapat vaksin, sekali gus membantu mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya selepas melawat kilang berteknologi tinggi PLS di Taman Perindustrian Puchong Utama hari ini.

Dalam lawatan itu, Dr Adham menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan pengeluaran vaksin oleh PLS yang mampu mengeluarkan 500,000 dos seminggu dan dijangka dapat membekalkan vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan negeri dan pihak swasta pada Jun dan Julai ini.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PLS bersedia untuk membantu kerajaan mempercepatkan proses penghasilan vaksin Sinovac menerusi proses ‘fill and finish’ atau pembotolan di kilang tersebut.

Beliau berkata sehingga kini PLS telah menerima tujuh juta tempahan dos vaksin daripada pihak swasta termasuk daripada GLC selepas mendapat kebenaran bagi membekalkan terus vaksin Sinovac kepada sektor tersebut.

“Setakat hari ini kita mendapat permohonan pembelian sebanyak tujuh juta dos vaksin daripada pihak swasta terutamanya GLC dan juga negeri iaitu empat juta daripada swasta termasuk GLC seperti Petronas, PNB dan lain-lain begitu juga tiga juta daripada kerajaan negeri,” katanya yang turut melawat kilang berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.