Pengumuman ‘Potong’ Gaji Menteri, Timbalan Perlu Disusuli Kerahan Total Jayakan Vaksinasi

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melihat pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam berhubung sumbangan gaji menteri dan timbalan menteri perlu disekalikan dengan langkah susulan yang lain.

Menurut beliau memang benar mesej untuk disampaikan adalah kebersamaan dan pengorbanan mereka pada waktu pandemik ini, namun sepatutnya pengumuman itu disekalikan dengan penegasan perdana menteri, pengerahan total semua menteri dan timbalan menteri dalam menangani pandemik ini.

“Iaitu vaksin, vaksin dan vaksin. Jangan suruh KJ (Khairy Jamaluddin) seorang. Menteri Perladangan cari setiap pekerja di setiap estet, pekebun kecil atau Felda. Menteri Pertanian pastikan setiap petani, penternak dan nelayan. Menteri Luar Bandar libatkan semua jentera luar bandarnya kerana isu tak daftar dan tak hadir banyak di luar bandar.

“Setiap menteri ada kakitangan yang beribu. Menteri pendidikan ada 400 ribu guru yang setelah divaksin boleh dikerahkan sebagai sukarelawan vaksin. Kempen, ajar MySejahtera, bantu pendaftaran dan banyak kerja lain yang boleh bantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi). Cikgu tinggalkan kerja lain dulu,” ujarnya menerusi catatan di Facebook.

Selain daripada itu tambah Shabery lagi boleh dibuat juga ‘mapping’ dengan pembahagian kawasan tertentu.

“Ada 222 kawasan parlimen. Ada 70 menteri dan timbalan. Seorang baru jaga tiga kawasan. Hampir semua dah ada kawasan masing-masing. Cuma tambah dua atau tiga kawasan sahaja sorang lagi.

“Panggil D.O (Pegawai Daerah) dan kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan. Tanya masalah, cari jalan, bincang dan bantu perjalanan rakyat yang jauh ke pusat vaksin,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Berikut artikel penuh beliau:

Bagi yang follow saya tahu, hari-hari saya menulis, sejak sekian lama. Namun apa yang tak pernah ditulis mintak potong gaji menteri.

Betul, mesejnya nak beritahu, menteri-menteri dan timbalannya berkorban sewaktu rakyat susah. Namun ia juga boleh dilihat sebagai hukuman kerana gagal jalan tugas. Harap tak begitu. Negara lain pun ada buat tapi mereka selesaikan masalah.

Di Parlimen apa yang menteri paling takut apabila ada usul potong RM10 gaji. Menteri yang sombong pasti kelam kabut cari orang pertahankan dirinya dari serangan hujah kenapa dia gagal dan patut dipotong gaji? Apabila ada saja usul ia sudah memalukan.

Sepatutnya pengumuman semalam disekalikan dgn penegasan PM, pengerahan total semua menteri dan timbalan menteri dalam menangani pandemik ini.

Iaitu vaksin, vaksin dan vaksin. Jangan suruh KJ sorang.

Menteri Perladangan cari setiap pekerja di setiap estet, pekebun kecil atau felda. Menteri Pertanian pastikan setiap petani, penternak dan nelayan. Menteri Luar Bandar libatkan semua jentera luar bandarnya kerana isu tak daftar dan tak hadir banyak di luar bandar.

Setiap menteri ada kakitangan yang beribu. Menteri pendidikan ada 400 ribu guru yang setelah divaksin boleh dikerahkan sebagai sukarelawan vaksin. Kempen, ajar mysejahtera, bantu pendaftaran dan banyak kerja lain yang boleh bantu KKM dan MOSTI. Cikgu tinggalkan kerja lain dulu.

Buat mapping. Ada 222 kawasan parlimen. Ada 70 menteri dan timbalan. Seorang baru jaga 3 kawasan. Hampir semua dah ada kawasan masing2. Cuma tambah 2 atau 3 kawasan sahaja sorang lagi. Panggil D.O dan kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan. Tanya masalah, cari jalan, bincang dan bantu perjalanan rakyat yang jauh ke pusat vaksin.

Vaksin, vaksin, vaksin bukan sekadar untuk warganegara sahaja, tapi semua. Termasuk pekerja ladang, kilang yang bukan warga negara atau pendatang Filipino yang berjuta orang di Sabah. Kalau mereka tak divaksin kita juga susah. Sebab tu Israel pun cari orang Palestin di Juruselem Timur dan yang bekerja dalam negara mereka untuk divaksin. Bukan sayang tapi untuk lindungi diri sendiri. Israel hanya tak peduli penduduk Gaza atau Tebing Barat sahaja.

Ramai seronok sikit dengar bantuan diumum semalam. Terima kasih. Tapi kita tak boleh berterusan macam ni. PM dah kata kos lockdown RM2.4 bilion sehari. 2 hari dah nak sama dengan kos vaksin yang RM5 bilion tu. Kalau 4 hari lockdown dah boleh bayar harga premium berganda supaya kita dapat tempahan awal. Kalau gagal lagi tak kan nak lockdown lagi dan umum bantuan lagi?

Bantuan PKP 3.0 kerana kegagalan kita sebelum ini. Benar rakyat ada salahnya, tak ikut SOP, nak balik raya. Rakyat pulak tanya kita, siapa yang gatal buat gerakan jatuhkan kerajaan Sabah? Buat PRN dan tak mahu kurantin wajib 14 hari semua yang pulang dari sana? Kita tak jawab pun soalan ini.

Kita semua ada peranan dan kelemahan kita. Semua kena buat kerja. Menteri2 kita lebih lagi. Ada power dan ada aparatus yang besar. Masa dah tak banyak, kalau bulan Ogos tak selesai lagi, takkan nak tambah darurat lagi? Itu bukti kegagalan lebih besar.

Hari ni 1 Jun. 1 Ogos hanya dua bulan lagi. Potong gaji 3 bulan macam tak kena. Sebab pada tanggal 1 Ogos macam-macam boleh berlaku.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.