Ahli Parlimen, ADUN Dilarang Adakan Majlis Rasmi

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dibenarkan mengadakan sebarang majlis rasmi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini sehingga 14 Jun ini.

Bagaimanapun menurut prosedur operasi standard (SOP) Am PKP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, mereka masih dibenarkan merentas negeri dan daerah untuk melawat kawasan masing-masing.

Mengikut SOP itu, untuk pelaksanaan PKP kali ini, MKN tidak membenarkan sebarang pergerakan rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan Kerajaan Negeri) untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata selaras dengan arahan itu semua majlis yang berkaitan dengan portfolionya ditangguhkan sementara.

“Kami akur dan sokong dengan arahan yang diberikan itu kerana ia dilakukan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan penyakit ini. Bagaimanapun ini bukan penghalang untuk kami turun membantu rakyat yang terjejas PKP.

“Contohnya di Parlimen Hulu Terengganu sendiri, kami mengambil inisiatif mewujudkan Gerobok Prihatin di setiap masjid yang menyediakan pelbagai barangan makanan keperluan harian seperti gula, beras, tepung dan barangan secara percuma untuk penduduk yang memerlukan.

“Dengan cara itu, kami tidak perlu mengadakan majlis dan pada masa yang sama penduduk juga tidak perlu berkumpul untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu ADUN Guai, Pahang, Datuk Seri Noroazali Sulaiman berkata walaupun tanpa majlis rasmi, kebenaran yang diberikan oleh MKN itu membolehkan wakil rakyat untuk turun padang bagi membantu rakyat yang terkesan dengan PKP.

“Walaupun PKP, tetapi wakil rakyat masih perlu turun untuk menjenguk dan bertanya khabar rakyat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kerana kita tahu ramai yang kehilangan punca pendapatan dan sumber mata pencarian.

“Namun dalam masa yang sama kami mengharapkan MKN memberi sedikit penjelasan berhubung jumlah perkumpulan yang bersesuaian semasa kami turun ke kawasan untuk menyampaikan bantuan itu,” katanya. – BERNAMA