COVID-19 Bukan Hanya Krisis Kesihatan, Wajar Guna Kepakaran Rakyat Semua Sudut – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap kerajaan dapat memanfaatkan segala kepakaran rakyat Malaysia bagi membantu negara menempuhi waktu sukar ini.
Jelas beliau, ini kerana penularan wabak COVID-19 ini telah menjadi ancaman keselamatan yang disifatkannya jauh lebih besar dari krisis kesihatan.
“Lalu marilah kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mencari idea, strategi, pendekatan dan pengurusan paling baik, ampuh dan strategik untuk memulihkan negara. Bukalah ruang seluas-luasnya untuk cendekiawan terbaik, ahi perniagaan paling berjaya, teknokrat paling dihormati dan sesiapa jua yang mampu membantu.
“Lebih banyak saintis kita untuk melakukan lebih banyak genome sequencing. Lebih ramai epidemiologi, perangkawan dan ahli matematik kita menilai pelbagai data. Kita ajak ahli perniagaan kita mengeluarkan lebih banyak testing kit dengan murah. Kita bawa teknokrat kita menguruskan vaksinasi agar lebih ramai pekerja kesihatan boleh fokus kepada kerja klinikal.
“Kita gemblengkan pelakon, penyanyi dan social influencer negara untuk melancarkan kempen yakin vaksinasi. Malah berikan kepercayaan kepada pasukan tentera untuk membantu pelbagai ikhtiar vaksinasi dan saringan kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang juga berharap parti-parti politik juga dapat menggunakan jentera parti masing-masing sebagai medium membantu golongan yang tidak berkemampuan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada esok.
“Gunakan segala jentera parti kita untuk membawa orang tua dan kurang upaya ke pusat vaksinasi, mendaftar vaksinasi atau menyalurkan apa jua bantuan yang termampu.
“Kita memerlukan satu sama lain dalam saat genting ini. Ketepikan segala birokrasi dan paculah pelan pemulihan negara ini secara inklusif.
“Ini adalah momen penting. Bukan sekadar kita jaga kita tetapi juga bantu sesama kita,” ujar beliau. –UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib