5 Lagi PPV Mega Di Lembah Klang, Tingkatkan Pemberian Vaksin – Khairy

KUALA LUMPUR, 30 Mei  – Kerajaan akan menambah lima lagi pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin bermula 7 Jun ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sebanyak tiga PPV mega akan dibangunkan di Selangor dan dua lagi di Kuala Lumpur.

“Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah buat keputusan untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang. Saya sudah maklumkan pada Menteri Besar Selangor.

“Di Selangor kita akan tambah tiga PPV mega iaitu di The Mines, UiTM Puncak Alam dan Setia City Convention Centre manakala di Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur Convention Centre dan perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya selepas melawat PPV di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Khairy berkata lebih banyak stesen suntikan dan dewan akan dibuka di PPV MITEC yang akan memulakan operasinya esok bagi melancarkan proses pemberian vaksin secara besar-besaran.

Khairy berkata  kapasiti suntikan harian untuk PPV di MITEC esok ialah lebih 2,000, namun beliau menyasarkan lokasi itu menampung lebih 6,000 suntikan sehari.

Katanya beliau akan ke Pulau Pinang dan Johor minggu depan bagi membincangkan pembukaan PPV mega di kedua-dua negeri itu.

Mengenai pemberian vaksin secara pandu lalu, Khairy berkata beliau akan mengeluarkan arahan dan garis panduan mengenainya esok untuk semua negeri yang mahu melaksanakan sistem itu.

Khairy berkata  beberapa negeri sudah meminta kebenaran untuk menjalankan sistem itu susulan keputusan projek rintis pemberian vaksin secara pandu lalu di Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan yang memberangsangkan.

“Saya minta tempoh 24 jam untuk mengeluarkan garis panduan pelaksanaan pemberian vaksin pandu lalu ini. Kita perlu pastikan ada garis panduan keselamatan, tak boleh pandu lalu, terus cucuk (vaksin) dan terus pergi. Kena ada tempoh pemantauan. Idea itu bagus dan kita telah timbang,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.