Amal Kawalan Pergerakan Kendiri, Keluarga Untuk Putuskan Penularan – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Rakyat Malaysia digesa untuk mengamalkan kawalan pergerakan kendiri dan keluarga sebagai langkah memutuskan rantaian penularan COVID-19 yang semakin serius akibat peningkatan kes sporadik dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata secara tidak sedar, sesiapa sahaja boleh dijangkiti atau menjangkiti individu lain.

“Semakin banyak pergerakan masyarakat dan kontak dengan individu lain, semakin tinggi kebarangkalian untuk virus SARS-CoV-2 merebak dan menjangkiti. Lebih-lebih lagi jika masyarakat tidak memakai pelitup muka, saling bersentuhan, tidak menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu hingga dua meter antara satu sama lain, bersesak-sesak di tempat yang sempit dan tiada pengudaraan yang baik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Malaysia mencatatkan rekod tertinggi jangkitan baharu COVID-19 dengan 7,478 kes dan rekod kematian tertinggi dengan 63 kes.

Dr Noor Hisham berkata orang ramai dinasihatkan supaya kurang berada di luar rumah, hanya keluar apabila perlu dan sekiranya perlu keluar, hanya seorang wakil bagi setiap rumah untuk sebarang urusan di luar.

Beliau berkata mereka yang dibenarkan bekerja dari rumah dinasihatkan agar berbuat demikian dan majikan diminta akur dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara mengenai polisi itu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang pergerakan bagi mengelakkan kesesakan di tempat awam, mengelak daripada menyertai sebarang aktiviti berisiko yang melibatkan orang ramai dan beribadah di rumah bersama ahli keluarga atau isi rumah masing-masing.

Dr Noor Hisham turut menyarankan orang ramai supaya membuat janji temu sebelum berjumpa doktor, memasak makanan sendiri, mengamalkan senaman di dalam kawasan rumah dan tidak menerima tetamu.

Beliau berkata kesemua rutin yang disaran adalah sesuatu yang tidak asing bagi penduduk Malaysia.

“Kita pernah membuktikan bahawa Malaysia mampu mengawal pandemik COVID-19 dengan mencatatkan sifar kes harian pada gelombang kedua. Kita mungkin belum menang tetapi kita belum kalah. Tanggungjawab kini di atas bahu kita semua untuk menjaga diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di seluruh negara.

“Semoga kemeriahan sambutan masih dapat dikongsi bersama seisi keluarga meskipun perlu menyambutnya dalam suasana mencabar pada ketika ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.