Ahmad Zahid Tidak Pernah Terima Sebarang Suapan Daripada Ultra Kirana Sdn Bhd – Peguam

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Peguambela Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pemimpin itu tidak pernah menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam apa juga sebarang nilai mata wang.

Hamidi Mohd Noh berkata keadaan ini perlu dihormati malah selagi Ahmad Zahid tidak disabitkan bersalah, beliau hendaklah dianggap sebagai orang yang tidak bersalah ke atas pertuduhan-pertuduhan yang diketengahkan.

“Pihak kami juga menolak sekeras-kerasnya apa juga kenyataan yang di buat di dalam ucapan pembukaan kes oleh pihak pendakwaan.

“Beliau tidak pernah menerima suapan wang dalam bentuk Ringgit Malaysia atau dolar Singapura atau dolar Amerika Syarikat atau Euro tersebut dan beliau telahpun tidak mengaku salah ke atas pertuduhan-pertuduhan ke atasnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tegas Hamidi lagi, dalam tempoh Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menjawat jawatan menteri dalam negeri beliau tidak mengambil kesempatan atas jawatannya dan serta tidak mengaut kekayaan di dalam tempoh tersebut.

“Pihak peguambela juga akan membawa keterangan bahawa pertuduhan-pertuduhan ini adalah tuduhan yang di buat atas dasar politik. Ianya adalah pertuduhan terpilih dan bertindak sebagai character assasination terhadap beliau.

“Perlantikan UKSB sebagai kontraktor kepada kerajaan bagi pembekalan perkhidmatan, tidak dibuat di dalam tempoh Ahmad Zahid berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

“Pihak peguambela juga akan membuktikan bahawa melalui saksi dan dokumen di dalam peringkat kes pendakwaan, beliau tidak menerima apa-apa wang rasuah dari pihak UKSB, kami yakin bahawa saksi dalam kes ini akan memberikan keterangan yang benar dan pihak peguambela akan dapat membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dengan dakwaan oleh pihak pendakwaan konsisten dengan pengakuan tidak bersalahnya,” tegas beliau.

Jelasnya, barisan peguambela juga bersedia untuk menyoal balas dan mencabar keterangan 20 orang saksi pendakwaan, mengemukakan Keterangan dokumentar di dalam pemeriksaan balasnya dan mencabar sebarang keterangan ikut keadaan yang akan di kemukakan oleh pihak pendakwaan.

“Pihak pendakwaan diletakkan atas beban yang maksima bagi membuktikan perkara ini dan peguambela bersedia untuk mencabar dan membawa keterangan yang juga akan membuktikan sebaliknya,” katanya.

Perbicaraan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) ini bermula hari ini dengan pendakwaan memanggil saksi untuk memberi keterangan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.