Pandemik COVID-19 : Sharkar Berkongsi Kebimbangan Dan Kesedihan

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bukan sahaja melahirkan kebimbangan dengan perkembangan pandemik COVID-19 yang melanda negara, malah turut melahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku hari ini.

Menurut beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang, penekanan harus diberikan dan dilihat oleh kerajaan dengan sebaik mungkin apatah lagi dengan kemunculan varian-varian baharu yang amat membimbangkan.

“Pandemik ini makin membimbangkan, kini wujud pula varian-varian baru di negara inj seperti B. 1.351 dari Afrika Selatan, B.1.1.7 yang berasal dari United Kingdom (UK), B.1.429 dan B.1.427 dari California, Amerika Syarikat (AS) dan P.1 dari Japan atau Brazil.

“Apa yang cukup membimbangkan dengan kemunculan varian-varian baru berkenaan, saringan biasanya menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah berada pada tahap yang serius.

“Saya berpandangan, sepatutnya dengan apa yang kita lakukan PKP 1.0, 2.0 dan Darurat Kesihatan, kita makin baik. Tetapi sebaliknya. Kerajaan perlu melihat perkara ini dan apa yang penting belajar dari negara-negara seperti New Zealand dan Australia yang dapat mengawal penularan COVID-19 dengan baik,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi antara faktor kejayaan dua negara itu adalah fokus yang diberikan oleh rakyat negara masing-masing terhadap pentingnya menjaga nyawa rakyat berbanding kepentingan politik peribadi dan populariti. – UMNO Online

Berikut ulasan penuh :

COVID-19 : Kesedihan Dan Kebimbanganku

SALAM sejahtera, saya berharap kita semua pada ketika ini berada di rumah, bukan semata-mata kerana akur pada arahan kerajaan tetapi lebih kepada sayangkan diri sendiri dan keluarga kerana penularan pandemik COVID-19 kini makin membimbangkan.

Saya merupakan antara yang awal memberikan penekanan dan cadangan kepada kerajaan ketika pandemik COVID-19 menular di Wuhan, China.

Sewaktu penularan COVID-19 ini mula dilaporkan berlaku di Wuhan, China, saya menekankan supaya aspek pencegahan diutamakan bagi memastikan wabak itu tidak menular di Malaysia.

Penekanan itu dibuat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada waktu tersebut telah mewartakan dua perintah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020.

Saya nyatakan pada waktu itu (rujuk FB saya tulisan bertajuk KORONAVIRUS: UTAMAKAN RAKYAT pada 25 Januari 2020), negara pastinya akan mudah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit antarabangsa selagi kita membuka pintu masuk negara kepada pelancong dan pekerja asing.

Lupakan soal itu, kerana ia telah berlalu. Wabak ini pun kini telah menjadi satu tragedi cukup menyayat hati kepada dunia termasuk negara kita Malaysia.

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 165 juta kes. Angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 3.5 juta kes. Cukup tragis dan sedih melihat angka berkenaan.

Begitu juga di Malaysia, lebih 500,000 kes telah dilaporkan berlaku di negara ini dengan kematian yang berlaku lebih 2,000 orang. Kita telah pun melaksanakan PKP 1.0, selepas itu PKP 2.0 dan kini PKP 3.0, Darurat Kesihatan juga dilaksanakan tetapi apa diharapkan tidak berlaku sebalik penularan makin parah.

Kematian di negara ini akibat COVID-19 semakin meningkat. Saya sendiri cukup pilu apabila kehilangan kawan-kawan seperti, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Allahyarham Datuk Seri Rizuan Abd Hamid dan Allahyarham Datuk Seri Mohamad Ismail (Ali Gemuk) akibat wabak ini. Tidak disebut lagi saudara mara, sahabat dan kenalan di Pahang dan di Temerloh. Sekarang ada lagi beberapa kawan-kawan dan kenalan saya yang kini sedang bertarung nyawa berada di fasa ketiga dan keempat akibat wabak pembunuh senyap ini.

Pandemik ini makin membimbangkan, kini wujud pula varian-varian baru di negara inj seperti B. 1.351 dari Afrika Selatan, B.1.1.7 yang berasal dari United Kingdom (UK), B.1.429 dan B.1.427 dari California, Amerika Syarikat (AS) dan P.1 dari Japan atau Brazil.

Apa yang cukup membimbangkan dengan kemunculan varian-varian baru berkenaan, saringan biasanya menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah berada pada tahap yang serius.

Saya berpandangan, sepatutnya dengan apa yang kita lakukan PKP 1.0, 2.0 dan Darurat Kesihatan, kita makin baik. Tetapi sebaliknya. Kerajaan perlu melihat perkara ini dan apa yang penting belajar dari negara-negara seperti New Zealand dan Australia yang dapat mengawal penularan COVID-19 dengan baik.

Antara faktor kejayaan dua negara itu adalah fokus yang diberikan oleh rakyat negara masing-masing terhadap pentingnya menjaga nyawa rakyat berbanding kepentingan politik peribadi dan populariti.

Saya sedih melihat jumlah kes positif dan kematian yang semakin meningkat setiap hari di negara ini, apa sebenarnya yang kerajaan ingin capai dari angka berkenaan? Kita perlu belajar dari New Zealand dan Australia bagi memastikan tidak berlaku situasi yang makin parah dan buruk di negara ini.

Kerajaan perlu serius mengenal pasti dari mana munculnya varian-varian baru berkenaan, adakah dari kluster ibadah, tempat kerja dan sebagainya. Fokus perlu diberikan terhadap permasalahan utama rakyat iaitu nyawa dan kesihatan, soal lain perlu dilupakan.

Kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam mendidik rakyat untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran bagi mencegah penularan wabak ini, jangan mengelirukan rakyat sebaliknya kerajaan perlu serius dan bertegas dalam pelaksanaannya.

Begitu juga dalam soal vaksin, tekankan betapa pentingnya rakyat perlu mengambil vaksin dan salah satu sebab utamanya untuk mengelak peningkatan kes jangkitan setiap hari sekali gus mengurangkan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Ambil contoh apa berlaku di India, infrastruktur kesihatan dan keperluan asas perubatan untuk merawat COVID-19 sangat tidak mencukupi, dengan kes harian pernah mencatat ratusan ribu.

Tsunami COVID-19 di India sewajarnya menginsafkan kita. Apakah kita mahu situasi yang berlaku di India turut terjadi di negara ini? Tepuk dada tanya selera.

Kepada semua, jangan kita leka, jangan kita alpa. Jangan kita menyesal nanti apabila kes jangkitan dan kematian di negara ini sama seperti apa berlaku di India. Ketika itu, menyesal pun tidak berguna lagi.

Marilah kita terus berdoa ke hadrat Allah SWT supaya Malaysia bebas daripada ancaman COVID-19, namun kunci kejayaannya melalui kerajaan dan rakyat yang bersatu-padu, makmur serta sejahtera.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Exco Kerajaan Negeri Pahang

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.