Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor Lancar Tabung Untuk Rakyat Palestin

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor melancarkan Tabung Kemanusiaan Makmur Palestin bagi membantu umat Islam yang terjejas rentetan serangan dan kekejaman rejim Zionis Israel di Palestin sejak penghujung Ramadan lepas.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata tabung yang dilancarkan semalam hingga 31 Mei ini merupakan usaha sama dengan Southern Volunteers dan dibantu penggerak bersama iaitu Majlis Belia Negeri Johor, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor, Dewan Muda Johor dan Institut Dato’ Onn.

“Hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Makmur Palestin ini akan digunakan untuk membantu umat Islam yang terjejas di Palestin bagi membeli barangan keperluan, kelengkapan perubatan dan makanan.

“Pihak pertubuhan juga mendapatkan nasihat dan sokongan daripada Wisma Putra bagi memastikan dana yang dikumpulkan dapat disampaikan melalui saluran yang telus dan tepat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hairi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berkata masyarakat yang ingin turut serta menyatakan soladiriti dan menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan serendah RM1 ke akaun CIMB Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor di 8010597814. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.