Oh, Total Lockdown! Boleh Laksana Dengan Syarat Kerajaan Jamin Bantuan Rakyat – Zahida

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Dilaporkan ada ura-ura kerajaan akan melaksanakan sekali lagi ‘total lockdown’ seperti yang dibuat ketika PKP 1.0 pada 18 Mac tahun lalu memandangkan angka positif COVID-19 terlalu tinggi.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ‘total lockdown’ boleh jadi pilihan akhir untuk pastikan pandemik ini dapat dikawal, tetapi dilaksakan dengan syarat, kerajaan mesti memberi jaminan bantuan kepada rakyat sekurang-kurangnya sama atau lebih lagi daripada yang diberi pada PKP 1.0 dahulu.

“Selepas kerajaan umum darurat di seluruh Malaysia pada 12 Januari 2021, kemudian PKP 2.0 13 Januari 2021… sudah lima bulan berlalu, tapi masih gagal untuk memutuskan rantaian penularan virus COVID-19,” katanya dalam mengulas berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Sehubungan itu, katanya memandangkan sekali lagi rakyat akan berkurung, lebih banyak sektor ekonomi ditutup, lebih ramai rakyat yang akan hilang pekerjaan, lebih ramai rakyat berhadapan tekanan maka kerajaan mesti mengumumkan bantuan secukupnya seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM2,000 kepada B40, RM1,400 kepada M40, RM1,200 kepada bujang gaji RM2,000 ke bawah dan RM900 kepada bujang gaji RM2,000 ke atas.

“Dalam masa yang sama kerjaaan perlu aktifkan semula bantuan lain seperti moratorium selama sekurang-kurangnya tiga bulan, memberi kelonggaran kepada pencarum KWSP untuk i-Lestari 2.0 dan i-Sinar 2.0.

“Bagi para peniaga kecil pula, kerajaan perlu perbanyakkan lagi bantuan dan bimbingan untuk mereka ‘transform’ perniagaan secara bersemuka kepada perniagaan atas talian.

“Kesihatan rakyat mesti dijaga, kebajikan rakyat jadi keutamaan, sektor ekonomi juga perlu seiring agar negara kita tidak benar-benar ‘Bankrap’ seperti yang dicanang Pakatan Harapan dahulu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.