Keselamatan Dan Nyawa Rakyat Bukan Bahan Dagangan Raih Laba Politik – Reezal Merican

GEORGE TOWN, 21 Mei – Jangan politikkan hal pemberian vaksin dan pemimpin-pemimpin politik diminta ambil pendekatan yang lebih bijak demi kemaslahatan rakyat.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata soal keselamatan dan nyawa rakyat khususnya di Pulau Pinang tidak seharusnya dijadikan bahan dagangan semata-mata untuk meraih laba politik yang sedikit.

“Apa yang lebih penting pada ketika ini adalah menggandakan usaha serta pendekatan lebih berkesan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat khususnya di Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
.
Reezal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada selasa lepas yang mendakwa Pulau Pinang pernah ditawarkan sumbangan dua juta dos vaksin oleh sebuah syarikat swasta tempatan pada Februari lepas namun kerajaan negeri tidak mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Namun semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac oleh syarikat swasta untuk Pulau Pinang adalah tidak sahih, dan siasatan mendapati bahawa syarikat tersebut tidak wujud.

Reezal Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata permainan politik, saling tuduh-menuduh serta label “perbuatan jenayah” tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan secara menyeluruh untuk seluruh rakyat Malaysia bertujuan mencapai imuniti berkelompok dengan segera tanpa mengira latar belakang mahupun pegangan politik.

Reezal Merican juga kesal dengan kenyataan Lim yang bersikap semberono terhadap Kerajaan Persekutuan dan sewajarnya perkara itu dibincang dan diselaraskan dengan baik sebagaimana sikap berhemah yang ditunjukkan Kerajaan Sarawak dan Selangor.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata beliau bersedia untuk memohon maaf sekiranya apa yang dikatakan Khairy itu benar.

“Sekiranya apa yang dikatakan oleh Khairy benar, maka saya bersedia meminta maaf agar kita dapat memberi perhatian pada kepentingan mendapatkan vaksin untuk rakyat melalui usaha menyeluruh kerajaan dan negara,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit