ADUN Dan Ahli Parlimen Johor Adakan Pertemuan Bincang Isu COVID-19

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pihak kerajaan dan pembangkang Johor akan mengadakan pertemuan minggu depan bagi membincangkan soal kebajikan rakyat negeri itu ekoran penularan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ia antara lain bagi membincangkan usaha untuk memperkukuh dan menambah baik segala langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk membendung pandemik itu, selaras dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“(Perbincangan) Ini termasuklah meningkatkan kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sedia ada dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Johor.

“Meskipun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, kerajaan negeri akan memastikan Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor melihat kelancaran perbincangan itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberi jaminan bahawa perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menitahkan semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor mengadakan satu perbincangan khas berhubung COVID-19 untuk memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Johor.

Sementara itu Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor turut menjunjung titah Sultan Johor dan mengajak semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor untuk bersama-sama berbincang berkenaan dengan permasalahan COVID-19 yang semakin meningkat di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi PH Negeri Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Negeri Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Negeri Johor Liew Chin Tong di sini hari ini.

“PH Johor akan memberikan komitmen bagi memenuhi titah berkenaan demi menyelamatkan Johor daripada wabak yang sedang mengancam rakyat di negeri ini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.