Tawaran Sumbangan Vaksin Sinovac Untuk Pulau Pinang Tidak Sahih, Syarikat Tidak Wujud

GEORGE TOWN, 20 Mei – Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac oleh syarikat swasta untuk Pulau Pinang adalah tidak sahih, dan siasatan mendapati bahawa syarikat tersebut tidak wujud, menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya telah berhubung dengan Sinovac Biotech Ltd di China, yang telah mengesahkan bahawa tiada apa-apa bukti dan permohonan diterima oleh wakil syarikat tersebut, berhubung sumbangan yang dimaksudkan.

Katanya, menurut surat yang diterima Ketua Menteri Pulau Pinang bertarikh 1 Feb 2021 yang ditulis oleh Yong Chee Kong dari Kota Kinabalu, sumbangan tersebut adalah dalam bentuk pembayaran kepada pihak Sinovac Biotech untuk kos vaksin sebanyak dua juta dos.

“Penulis surat ini telah memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia dan merupakan pengarah urusan syarikat Xintai Development Enterprise Ltd, yang berpangkalan di Hong Kong.

“Dalam surat ini disebut bahawa penulis surat itu akan bayar deposit US$2 juta sekiranya Pulau Pinang setuju dan individu tersebut juga telah berhubung dengan pihak Sinovac Biotech melalui pegawai jualan antarabangsa iaitu Coco Chang,” katanya dalam satu sidang media secara dalam talian semalam.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, wanita yang dinamakan sebagai pegawai jualan antarabangsa tersebut telah mengesahkan bahawa, beliau tidak menguruskan pasaran Asia dan telah menafikan telah dihubungi berkaitan sumbangan yang dimaksudkan.

Malah Khairy berkata, pihaknya juga pernah menerima surat dari penulis yang sama pada 9 Feb 2021 atas tujuan sumbangan vaksin sebanyak dua juta dos, kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Apabila kita menerima surat ini, kakitangan saya merujuk kepada pihak Sinovac dan mendapati bahawa tawaran ini tidak betul. Ini satu ‘scam’, ini satu penipuan. Jangan politikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan ‘scam’ ini.

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menderma vaksin, tapi mesti melalui saluran yang betul. Vaksin adalah barang kawalan dan ia tidak mudah untuk dibeli dan diimport. Ini bukan seperti membeli ‘t-shirt’ di Shopee,” katanya, sambil menambah pihaknya akan meminta Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), untuk membuat laporan polis berkenaan individu yang tidak diketahui identiti ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan program imunisasi itu beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan lagi kadar pemberian vaksinasi dan beliau yakin jumlah itu akan meningkat dari bulan ke bulan bermula Jun, dengan lebih banyak bekalan tiba termasuk Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Beliau berkata, secara puratanya kadar vaksinasi antara 30,000 dan 40,000 sehari, tetapi jumlah itu mencapai 76,000 semalam.

“Ia semakin meningkat. Dengan kadar yang kami jangkakan, saya yakin kita boleh lengkapkannya pada hujung tahun,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.