PKP Penuh Perlu Dilaksanakan Segera, Ambil Kira Bantuan Untuk Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Keputusan dan langkah yang tegas mesti dibuat oleh kerajaan ekoran peningkatan mendadak COVID-19 di negara ini malah pada masa yang sama  tidak perlu ditimbulkan persoalan siapa betul dan siapa salah kerana ianya melibatkan nyawa.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata apa yang penting pakar kesihatan telah memberikan cadangan agar dibuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dan ianya perlulah disegerakan.

“Tidak timbul soal siapa salah atau siapa betul dalam hal mendepani COVID-19. Ini penyakit maut dan semua pihak wajib bekerjasama. Sebaiknya, semua pihak perlu mengikut nasihat pakar kesihatan.

“Kalau doktor dan KKM mencadangkan PKP yang lebih ketat sebagai langkah terbaik, kenapa tidak semua kementerian, agensi dan semua pihak akur? Adakah kementerian dan agensi lain lebih tahu serta faham perihal COVID di negara kita? Atau sememangnya nyawa rakyat Malaysia tidak penting langsung?

“Ini virus maut, tak kena pada diri dan keluarga sendiri mudah kita bercakap. Dah kena baru panik. Terlambat, untuk kita kerana kita perlu utamakan nyawa dulu, baru ekonomi boleh hidup,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Justeru tambah Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, sebagai mendengar rintihan petugas kesihatan dan ketakutan masyarakat hari ini, kerajaan digesa melaksanakan PKP secara penuh di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari sahaja.

Tambahnya lagi gesaan ini dibuat memandangkan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit COVID-19 dan dalam masa yang sama perlu mengendalikan lain-lain pesakit.

Katanya tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minimum bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.

“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan COVID-19, saya bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara.

“SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan Covid-19 bahkan ia dilihat semakin meningkat setiap hari. Trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

“Kerajaan juga wajib memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas sebagai bantuan ekoran pelaksanaan PKP ini. Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi.

“Semua agensi kerajaan juga perlu turun padang memastikan keperluan rakyat seperti makanan tanpa ada seorang pun yang tertinggal. Tidak ketinggalan, kerajaan perlu menyegerakan bantuan untuk peniaga kecil yang terjejas akibat COVID-19,” ujarnya.

Merungkai lebih lanjut, Norshida turut mengimbas bagaimana pandemik COVID-19 telah memberi cabaran yang amat besar kepada semua dan semalam 19 Mei 2021, kes telah mencatatkan angka yang sangat menakutkan iaitu 6,075 kes selain kadar kematian juga semakin meningkat, dan lebih menakutkan lagi umur pesakit COVID-19 yang meninggal semakin muda.

“Situasi ini telah mengubah landskap penjagaan kesihatan di Malaysia secara drastik. Perkhidmatan fasiliti kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merupakan tulang belakang kesihatan rakyat Malaysia telah dibebankan dengan pelbagai jenis cabaran baru akibat penularan Covid-19 yang semakin buruk.

“Doktor dan petugas kesihatan diwajibkan ‘oncall’ setiap masa yang mana prosedur ini telah berterusan selama lebih setahun sehingga kakitangan kesihatan kehilangan keseimbangan antara kehidupan dan waktu kerja.

“Sudah tentu ramai yang setuju, jika diberi diberi pilihan nak “money” atau nak mati, tentu semua tidak mahu mati. Orang ramai perlu tahu Covid-19 penyakit maut. Ia bukan virus flu biasa. Sebelum ini kita melihat jangkitan jaringan penyakit ini daripada warga asing, dan pekerja kilang tetapi sekarang jangkitan berlaku dalam kalangan keluarga, artis, orang yang kenduri, buat majlis raya dan lain-lain keramaian,” katanya.

Katanya lagi lebih membimbangkan, ahli keluarga tidak sedar sudah dijangkiti kerana mereka tiada gejala. Maknanya kita semua terdedah sesama kita kepada virus maut ini,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.