Apa Fungsi Darurat Kalau Ada Pihak Yang Kebal?

PETALING JAYA, 20 Mei – Kerajaan diminta bertindak terhadap pemimpin pembangkang di bawah undang-undang darurat termasuK Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yow yang didakwa mencelarukan pemikiran rakyat Malaysia apabila mengatakan kerajaan Pusat tidak memberi kebenaran vaksin untuk penduduk Pulau Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, tuduhan kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa kerajaan pusat menolak sumbangan vaksin Sinovac dua juta dos dari individu tertentu juga perlu diambil tindakan jika ia ternyata tidak benar.

Katanya, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk menuduh kerajaan PN melakukan jenayah tetapi tidak ada tindakan diambil.

“Sekiranya rakyat membuat video atau penulisan yang seperti ini, sudah pasti akan di tangkap dan di panggil untuk disoal siasat. Namun bukan untuk seorang Ketua Menteri dari DAP, walaupun kenyataannya memberikan impak lebih besar.

“Sebagaj rakyat biasa, saya nak menegaskan agar Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri, silalah buat siasatan, apa niat buruk Ketua Menteri sehingga mahu mewujudkan suasana tidak yakin kepada Kerajaan pusat,” katanya hari ini.

Beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang kononnya mahu menderma dua juta dos vaksin Sinovac itu kerana kosnya mencecah hampir suku bilion.

“Ini soal 2,000,000 dos dan dianggarkan melibatkan wang berjumpah RM240 juta, hampir suku billion. Siasat kenapa si polan dan si polan mempunyai dana sebesar ini. Kemungkinan ada satu lagi projek ghaib yang akan diberikan sebagai imbuhan timbal balas.

“Segera siasat, tak perlu tunggu laporan, ini kepentingan Negara,” katanya.

Menteri yang menjaga undang-undang pula katanya, diminta mengkaji apa bidang kuasa dan fungsi dalam darurat yang boleh diambil tindakan terhadap gerakan propaganda yang mencalarkan imej kerajaan yang memerintah seperti itu.

“Kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan seseorang mewujudkan kacau bilau terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi sekarang waktu yang amat kronik dengan kes Covid-19 melebihi 6,000. Kementerian buat kerja, bukan sekadar berpeluk tubuh.

“Negara bernasib baik kerana ada Khairy (Menteri Sains dan Inovasi, Khairy Jamaludin yang memeriksa dahulu sebelum bertindak mengikut cadangan Kemua Menteri Pulau Pinang.

“Dijelaskan Khairy sumbangan yang ditawarkan adalah scam yang mana ini telah mengwujudkan situasi fitnah, sentimen dan imej buruk kepada kerajaan Pusat dimana Ketua Menteri Pulau Pinang bebas melakukan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab dengan niat mewujudkan kecelaruan dalam negara,” katanya. – UTUSAN