Laksana PKP Penuh, Bukan Separuh Masak – Puteri UMNO Johor

JOHOR BAHRU, 19 Mei – Pergerakan Puteri UMNO Johor merayu kepada pihak kerajaan agar cadangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dilaksanakan dengan disokong oleh Kabinet.

Kata Ketuanya, Nur Ain A. Rahman, sejarah telah membuktikan PKP ketat dalam beberapa tempoh berjaya menurunkan kes COVID-19 ke satu angka.

“Pergerakan rakyat Malaysia perlu dihadkan agar tiada rantaian sebaran COVID-19. Varian baru COVID-19 ini berisiko maut untuk semua, bukan warga emas sahaja tetapi semua peringkat umur.

“Fasiliti kesihatan negara berada di tahap genting dan mencapai penggunaan maksimum. Kita juga dapat melihat, membaca dan sudah pasti menyedari bahawa saudara, kawan-kawan, jiran dan kenalan yang dijangkiti COVID-19 malah lebih sedih lagi COVI-19 menjadi asbab dijemput Ilahi.

“Rakyat Malaysia bukan sahaja perlukan kesedaran, tetapi perlu ketegasan perundangan. Pengorbanan perlu dilakukan sekali lagi oleh rakyat Malaysia untuk negara. COVID-19 bukan konspirasi politik mana-mana pihak, ia adalah hakikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, angka kes COVID-19 hari ini adalah tertinggi dalam sejarah negara iaitu 6,075 dan Selangor mencatatkan rekod kes COVID-19 tertinggi mendahului negeri yang lain.

Sebelum ini, Dr Adham telah mencadangkan agar PKP penuh dilaksanakan bagi membendung dan memberhentikan penularan kes COVID-19.

Tambah Nur Ain yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang lagi, satu hakikat yang harus diakui penutupan sektor ekonomi sudah pasti menyumbang kepada pengangguran dan kesusahan rakyat.

“Maka kerajaan juga perlu menyediakan pakej bantuan jangka pendek segera seperti lanjutan moratorium, lanjutan i-Sinar dan sebagainya untuk setidaknya rakyat bertahan hidup.

“Tetapi sekiranya kerajaan hanya membiarkan PKP separuh masak dilaksanakan, kita akan sukar dalam jangka masa yang lebih lama berserta dengan kehilangan nyawa,” tegasnya lagi.

Adakah kerajaan hanya akan melaksanakan PKP selepas Menteri Kabinet sendiri dijemput Ilahi kerana COVID-19, soalnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.