Kerajaan PN Didesak Sokong Moratorium Automatik Hingga Akhir Tahun 2021

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didesak supaya melaksanakan moratorium automatik hingga ke hujung tahun 2021.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ini kerana masih ramai yang belum dapat pekerjaan baharu setelah menganggur kerana COVID-19 sementara mereka yang berniaga masih belum dapat berniaga sepenuhnya.

“Ada yang baru menghidupkan semula perniagaan tetapi mengalami kerugian kerana pelaksanaan PKP 3.0 di saat terakhir.

“Justeru amat wajar moratorium automatik diberi hingga ke hujung tahun apatah lagi bank bank masih untung besar di waktu PKP ini,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran facebooknya.

Dalam hal ini beliau turut memetik berkaitan kenyataan Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus yang tidak setuju moratorium automatik dilaksanakan.

“Tetapi hujah Nor Shamsiah bahawa sektor ekonomi masih beroperasi walaupun PKP 3.0 dilaksana di seluruh negara tidak kukuh.

“Kerajaan boleh sahaja putuskan golongan mana yang layak ditawarkan moratorium automik. Syarikat besar dan jutawan bolehlah dikecualikan.

“Jika tidak ada moratorium automatik, rakyat yang terjejas teruk akan berhadapan kerenah birokrasi bila berurusan sendiri dengan pihak bank.”

Malangnya, ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, sejak Parlimen digantung rakyat yang terjejas ketiadaan saluran supaya nasib mereka terbela.

“Mereka kini hanya ada media sosial. Kalau bakar suar dan naikkan kain rentang ‘kerajaan gagal’ mereka mungkin ditangkap,” katanya lagi.

Dilaporkan, tahun lalu apabila COVID-19 menulai dan PKP dilaksanakan, kerajaan telah mengumumkan bantuan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium bayaran pinjaman selama enam bulan bermula 1 April dan kemudian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih berfokus khusus dilaksanakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.