Zahid Tegaskan UMNO Konsisten Tentang Penindasan Di Palestin, Jelaskan Senario ‘To Be Fair Two State Solution’

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO sejak dahulu memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin malah parti itu turut menentang kezaliman dan penindasan oleh rejim Zionis.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau turut menjelaskan persoalan yang dibangkitkan oleh ‘netizen’ berhubung ‘to be fair two state solution’ atau penyelesaian antara dua negara yang menjadi perbualan umum hari ini.

“Sehari dua ini timbul perkara yang kurang enak didengar apabila ada netizen mempertikaikan sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah, kenapa tidak diselesaikan isu ‘to be fair two state solution’ atau penyelesaian antara dua negara. Kata individu terbabit yang mungkin memihak pihak tertentu. Pengucapan kerajaan berhubung ‘two state solution’ memang begitu sejak dahulu. Dan kenapa tidak berbunyi pada masa berkenaan?

“Saya ingin menegaskan ungkapan ‘two state solution’ bukannya dicipta atau diilhamkan oleh kita sendiri tetapi oleh PBB dan pihak antarabangsa. Saya berharap anda semua memahami. Bagi umat Islam kita tidak pernah mengiktiraf kerajaan haram Israel. Sepanjang menjawat Timbalan Perdana Menteri saya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu dua negara. Apa lagi mengiktiraf kerajaan haram Israel.

“Secara kebiasaan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin-Israel akan dibuat Perdana Menteri. Kita dapat membuat penilaian antara kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mengetuai kerajaan BN suatu ketika dahulu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini. Siapa yang lebih tegas dan berani? Apa-apa pun ingin saya menerangkan bahawa UMNO sejak dahulu memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin. UMNO menentang kezaliman dan penindasan oleh rejim Zionis,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengimbas bagaimana selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 29 Julai 2015, ketika berucap pada Perbahasan Umum ke-71 Perhimpunan Agung PBB di New York pada 24 September 2016, beliau mengajak seluruh dunia menentang keganasan.

“Saya menuntut keadilan di Wilayah Palestin yang amat menyedihkan. Peperangan dan penindasan yang berlaku merampas kestabilan dan keselamatan.  Dalam ucapan itu saya menyentuh isu yang berdekad lamanya tidak dapat diselesaikan disebabkan kelemahan dalam pentadbiran PBB itu sendiri. Kita melihat kepungan terhadap Gaza, perluasan penempatan Yahudi Zionis, pembinaan tembok haram dan pengusiran rakyat Palestin secara paksa tetap dilakukan penjajah walaupun mendapat kritikan antarabangsa.

“Pada 2016, saya juga menerima kunjungan Menteri Luar Palestin, Dr Riad Malki bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin. Pada 9 Disember 2015 saya turut bertemu pemimpin Hamas, Khaled Meshaal bagi membincangkan langkah penyelesaian terhadap kemelut di Palestin. Pada 30 Jun tahun lalu, UMNO juga memberikan sokongan antarabangsa bagi membantah rancangan aneksasi ke atas Wilayah Palestin. (pautan 1) (pautan 2) (pautan 3)

“Kita memahami serangan ke atas penduduk Palestin tidak pernah surut dan boleh dikatakan berlaku setiap tahun. UMNO tidak pernah terkecuali membantu. Selain bantuan keperluan, makanan dan wang ringgit parti ini juga mengadakan demonstrasi aman bagi memberi tekanan ke atas Israel dan sekutu. Pada waktu itu kami ketepikan ideologi politik dan bersatu atas nama agama,” tambahnya.

Beliau seterusnya mengharapkan agar semua memahami bahawa penindasan terhadap penduduk Palestin tidak akan berakhir jika dunia Islam tidak bersatu, malah negara-negara Islam, Liga Arab dan OIC perlu bertindak secara jitu untuk mengembalikan kegemilangan Islam.

“Jika masih ada pengkhianat dan tali barut, masalah sama akan berulang. Sehingga lahirnya seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas dan sayangkan agama. Saya menyeru anda semua marilah kita menjadi umat yang ikhlas dan berjuang untuk agama,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas