‘Total Lockdown’: Ada Pro Dan Kontra Namun Berpaksilah Kepada Realiti Yang Sebenar – Farid

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berpandangan kerajaan hari ini perlu membuat kajian secara terperinci bagaimanakah langkah yang sewajarnya dalam menghadapi gelombang COVID-19 di negara ini.

Menurut beliau sememangnya berdasarkan tinjauan umum, cadangan yang popular pada ketika ini ialah ‘total lockdown’, namun perlaksanaannya ada pro dan kontra yang tersendiri serta perlu dinilai berdasarkan data yang sedia ada.

“Rakyat tiada akses kepada keseluruhan maklumat, mereka bercakap berdasarkan apa yang sedang viral. Terpulang kepada pihak berkuasa untuk buat keputusan. Namun kita berharap agar mereka yang berkenaan buatlah satu keputusan yang betul, keputusan yang betul biasanya tidak popular dan wajib kena maki.

“Untuk bagi mereka tenang sedikit, keputusan yang betul perlu diikuti dengan penguatkuasaan yang adil juga. Figura utama perlu jadi contoh yang baik, jika langgar SOP (prosedur operasi standard) mengaku sahajalah dan bersedia untuk dihukum.

“Usah bimbang dengan kutukan netizen, sebahagian dari anda yang berkuasa hari ini pernah menggalakkan mereka berbuat demikian suatu ketika dulu, walaupun faham keputusan kerajaan ketika itu betul,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Farid seterusnya mengambil contoh bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang saban hari menerima kutukan dan sebagainya setelah memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) walaupun ianya baik untuk pendapatan negara selain mengelakkan manipulasi dalam penilaian cukai perniagaan.

“Ambil beberapa contoh, apabila GST diperkenalkan, tak cukup tanah anda menggalakkan rakyat balun pemerintah, sedangkan GST menambah pendapatan negara, mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak dan mengurangkan manipulasi dalam penilaian cukai perniagaan. Jika GST masih wujud, mungkin kita tidak perlu keluarkan wang simpanan untuk beli vaksin.

“Begitu juga dasar melarang mereka yang gagal membayar pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dari keluar negara, dasar itu dihapus, namun bayaran balik diterima semakin rendah, mereka yang dapat keputusan cemerlang tidak lagi boleh ubah pinjaman kepada biasiswa dan hari ini siapa sahaja boleh keluar negara?

“Ketika kerajaan lalu putuskan subsidi dihapus dan harga minyak diapung, hasut juga rakyat untuk tentang, kerajaan dituduh zalim. Hari ini harga minyak naik setiap minggu, dasar yang zalim telah dikembalikan. Dahulu kita ganti dengan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), ramai yang dapat, hari ini ada bantuan, tapi yang menerima tak seramai dulu walaupun keadaan semakin sukar,” tambahnya.

Justeru tambah beliau lagi laksanakanlah perkara yang betul dan perasaan marah serta pelbagai perkara yang ditimbulkan adalah hak masing-masing dan kemarahan akan reda apabila wabak COVID-19 berjaya dikawal, insya-Allah. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.