GPM Rayu Ahli Parlimen, DUN Bantu Rakyat Palestin

JASIN 18 Mei – Global Peace Mission Malaysia (GPM) merayu seluruh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara untuk menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk di Palestin yang diserang oleh tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, mereka perlu mencontohi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman yang pertama mengambil inisiatif melancarkan Tabung Selamatkan Palestin untuk membantu rakyat di Semenanjung Gaza.

Menurutnya, usaha yang dibuat oleh DUN Sungai Rambai diharap menjadi titik tolak kepada pemimpin di peringkat Parlimen dan DUN agar momentum kutipan itu dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, sejak melancarkan kempen AID For Palestine kutipan yang berjaya diperolehi setakat ini berjumlah RM1.3 juta.

“Saya syorkan pimpinan sama ada di peringkat Parlimen atau DUN atau mana-mana masyarakat dapat mencontohi inisiatif yang dilaksanakan oleh DUN Sungai Rambai.

“Kalau tidak boleh buat secara fizikal disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, bantuan boleh dilakukan secara atas talian melalui laman sesawang www.pedulipalestine.com,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Tabung Bantuan Selamatkan Palestin, peringkat DUN Sungai Rambai, di perkarangan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai dekat sini semalam.

Hasil daripada pelancaran tersebut sebanyak RM5,000 berjaya dikutip dan serahkan kepada Ahmad Fahmi.

Ujar Ahmad Fahmi lagi, sumbangan daripada rakyat Malaysia ini akan diterjemahkan kepada bantuan-bantuan kecemasan yang diperlukan untuk membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis.

Sementara itu Hasan ketika ditemui berkata, tabung berkenaan telah mula digerakkan sejak Isnin lepas dan mendapat sambutan yang baik walaupun belum menyeluruh.

Ujarnya, kempen tabung berkenaan akan digerakkan ke seluruh DUN Sungai Rambai termasuk di setiap kampung untuk mengumpul sebara banyak sumbangan daripada masyarakat setempat.

“Ini adalah usaha masyarakat DUN Sungai Rambai yang mampu kita lakukan dengan menghulurkan bantuan untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas dengan begitu kejam oleh tentera Zionis,” ujarnya. – UTUSAN

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.