Rakyat Tak Degil… Cuma Makin Terkilan Cara Kerajaan Tangani COVID-19 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan rakyat ketika ini semakin kesal dengan pentadbiran kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Jelasnya ini kerana, sebelum ini rakyat pernah meminta agar kerajaan untuk mengetatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan tahun lalu namun ianya tidak dilaksanakan.

“Jangan pula fikir rakyat yang menyatakan mereka terkilan sebagai degil atau tidak faham bahasa. Fahami rakyat terkilan bukan semata-mata tidak dapat menziarahi ibu bapa di kampung.

“Bukan kerana tidak dapat bergembira meraikan lebaran bersama ahli keluarga dan sanak saudara. Mereka terkilan kerana kegagalan sang penguasa yang memegang tampuk pentadbiran negara.

“Kegagalan sang penguasa menangani peningkatan kes COVID-19 apatah memberi harapan “pelesu”. Malangnya itu tidak berlaku. PKP 2.0 diumumkan, tetapi kebanyakan rakyat masih terpaksa meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Rakyat tiada pilihan. Sama ada hidup merana dijangkiti COVID-19 atau merana hilang segala-galanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ketika kadar jangkitan terus meningkat rakyat pula seolah-olah dipersalahkan.

“Kemudian rakyat dimaklumkan Ordinan Darurat akan membantu menangani penularan COVID-19.

“Bagaimanapun selepas beberapa bulan berlalu, kes jangkitan harian COVID-19 bertambah parah.

“Sekali lagi rakyat juga seolah-olah yang salah. Tidak menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP), alpa dan sebagainya. Sedangkan rakyat telah mengorbankan elemen terpenting dalam hak demokrasi mereka iaitu Parlimen,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, rakyat juga pernah diberi harapan suatu ketika dahulu bahawa kononnya penerima suntikan dua dos vaksin COVID-19 dibenar merentas negeri namun itu tidak berlaku.

“Semua pukul rata dilarang merentas negeri atau daerah semasa Aidilfitri. Maka atas faktor-faktor ini adakah rakyat tidak boleh langsung berasa kecewa dengan sang penguasa?

“Adakah rakyat yang berasa terkilan akan dianggap sebagai tidak sanggup berkorban dan pentingkan diri? Apakah rakyat yang berasa marah dilabel tidak tahu mengutamakan soal keselamatan diri dan orang sekeliling?

“Cukup sudah menunding jari pada rakyat. Hentikan spin ini. Sedangkan perkara paling pokok adalah tentang kisah sebuah kegagalan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.