Kuarantin Wajib Penumpang Misi Hadr, Repatriasi Dari India Dilanjut 21 Hari

KUALA LUMPUR, 15 Mei  – Tempoh kuarantin wajib 14 hari bagi semua penumpang dari India yang tiba di Malaysia menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada 12 Mei dan penerbangan repatriasi 13 Mei lepas dilanjutkan kepada 21 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat susulan tujuh dari 132 penumpang penerbangan repatriasi pada 13 Mei dikesan positif COVID-19 dengan kadar pesakit yang positif wabak tersebut sebanyak 5.3 peratus.

“Mengambil kira keputusan di atas dan penilaian risiko yang dijalankan maka KKM (Kementerian Kesihatan) memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang terlibat.

“Berdasarkan situasi itu juga, KKM akan membuat penilaian risiko dengan segera untuk melihat keperluan memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain yang akan tiba dari India,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata sekatan sedia ada bagi penumpang bukan warganegara ke Malaysia dari India masih berkuat kuasa seperti biasa.

Dr Noor Hisham turut menasihati semua rakyat Malaysia agar memberikan kerjasama dalam usaha mengekang kemasukan varian baharu dari India iaitu B.1.617 yang dilaporkan lebih cepat menular dan menyebabkan gejala lebih serius khususnya dalam kalangan individu berumur bawah 50 tahun.

Pada 12 Mei lepas, misi repatriasi membawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 pagi.

Misi yang menggunakan pesawat sewa khas itu membawa pulang sejumlah 132 orang melibatkan 117 rakyat Malaysia dan enam tanggungan serta seorang pemegang status penduduk tetap Malaysia serta lapan warga Brunei. – BERNAMA