Suasana Aidilfitri Tidak Seperti Sebelumnya, Marilah Kembali Tradisi Bermaafan – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengajak umat Islam untuk kembali kepada tradisi saling bermaafan biarpun suasana Aidilfitri tidak lagi sama seperti sebelumnya.

Katanya, Ramadan sudah berakhir dan moga segala amalan dan doa kita sepanjang Ramadan diterima Allah dengan memperolehi keampunan dari segala kesalahan dan kesilapan masa lalu.

“Ketika kita akan merayakan Aidilfitri, sekali lagi dunia menyaksikan peristiwa kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin. Peristiwa pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa ketika ummat Islam sedang melakukan ibadah di bulan Ramadan adalah tindakan kejahatan dan provokatif yang sangat melampau oleh regim Zionist.

“Ketika dunia sudah mulai aman dari kisah pembunuhan dan peperangan, regim Zionist Israel sekali lagi mencetuskan semula api pertikaian. Kini sudah lebih 30 rakyat Palestin dari wilayah Gaza terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita. Ya Allah, selamatkan Masjid al-Aqsa dan ummat Palestin dari tangan-tangan ganas Zionis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya,dalam ehwal negara pula terus menyambung perayaan dalam perintah PKP apabila seluruh negara merasai sekatan ini untuk tahun kedua berturut-turut.

“Kita mendengar esak tangisan kesedihan dan kekecewaan kerana tidak dibenarkan merentas negeri dan daerah. Bagi peniaga-peniaga kecil di pasar-pasar makanan ramadan dan gerai-gerai pakaian dan persiapan Aidilfitri, turut terjejas teruk akibat sekatan pergerakan.

“Jumlah jangkitan Covid-19 yang bertambah-tambah mencecah 4,000 sehari sejak seminggu dua ini menyebabkan semuanya menjadi panik. Langkah-langkah yang diambil pula dikritik ramai kerana tidak konsisten. Warga netizen melepaskan geram dan marah.

“Lalu kita mendengar pelbagai pengumuman mengenainya. Dan terakhir adalah pengumuman oleh YAB PM dengan melaksanakan PKP sepenuhnya dari 12hb Mei hingga 6 Jun. Ini kerana keadaan Covid-19 yang makin meruncing.”

Maka ujarnya, sekali lagi tidak ada majlis sambutan raya, tidak ada solat sunat raya seperti lazimnya (hanya had 20-50 orang sahaja), tidak ada kunjung mengunjung, tidak ada pergerakan untuk melihat kedua ibu-bapa.

“Akhir sekali, dalam gelora jiwa ketidakpuasan hati dan kemarahan, marilah bersama-sama kita kembali kepada tradisi saling bermaafan. Saya mohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kesalahan saya kepada seluruh warga jelata.

“Mungkin ada di kalangan anda yang tidak saya santuni, mungkin ada yang saya lukai hati dan perasaan, mungkin ada yang terguris dek kerana cara saya, maka ampuni lah saya. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.