Kembalikan Panji ‘UMNO Pembela Rakyat, Pembangun Negara’ – Dr Zambry

SEJAK 75 tahun penubuhannya, tentunya UMNO menghadapi pelbagai laluan dan jalur politik selaras dengan perjalanan dan perkembangan negara sejak 1946 hinggalah sekarang.

Setiap kali krisis kepimpinan banyak yang menjangkakan UMNO akan terkubur.

Apabila pengasas UMNO Dato Onn meninggalkan UMNO tahun 1951; kumpulan agamawan UMNO menubuhkan PAS tahun 1951; krisis kepimpinan Tunku Abdul Rahman pasca-1969; pengharaman UMNO 1988; penyingkiran Anwar Ibrahim 1998; dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin 2016; kita mendengar bagaikan bacaan talqin politik terhadap UMNO.

Namun UMNO masih dipayungi oleh 3.3 juta ahli dan pimpinannya. Sehinggalah pada pilihan raya ke 14, peristiwa besar kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya. Kali ini UMNO berada di luar koridor kuasa.

Tiba-tiba UMNO hilang kuasa. Allah menghantar mesej untuk kita sedar bahawa apabila berlaku fasad dan fitnah, kehebatan dan kekuasaan itu runtuh dalam sekelip mata.

Bagi para sarjana dan pemerhati politik, ia dianggap sebagai fasa “the ends of UMNO”. Kali ini kata mereka UMNO pasti terkubur.

Sebagai alternatifnya, wujud pula sebuah parti lain yang hampir sama dengan UMNO dalam segala seginya. Parti ini menjadi sebahagian dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mempunyai perdana menteri (PM), justeru menganggap dirinya sebagai pengganti kepada UMNO.

Namun kerajaan PH itu hanya mampu mentadbir selama 22 bulan sahaja. Dan UMNO pula menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibina kini. Meskipun bukan itu yang direncanakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Apakah semua petanda ini? Apakah UMNO perlu terus berbangga bahawa ianya tidak akan ditelan tiupan sangka-kala politik yang lebih ganas?

Confucius pernah berkata “our greatest glory is not in never falling, but in rising every time we fall”. (kehebatan teragung kita bukan kerana kita tidak pernah tumbang, tetapi kita bingkas bangun setiap kali kita tumbang)

Kita telahpun tumbang dan tewas dalam PRU14, tetapi kehebatan teragung itu ialah setiap ahli akar umbi bingkas bangun memegang obor api perjuangan dan menyalakannya semula di setiap ceruk rantau.

Ketika ramai pemimpin dan wakil rakyat UMNO kecundang dan menyerah diri melalui pengkhianatan lompatan parti, pendokong-pendokong akar umbi bersama dengan pemimpin-pemimpin yang cekal terus bergerak mengatur setiap langkah ke hadapan.

Justeru dalam menempuh jalan ke hadapan apakah kita punya kemampuan dan keberanian untuk bangun atas nama menyelamatkan parti dan meletakkannya semula di persada politik nasional?

Di sinilah erti pengorbanan menjadi mantra yang perlu dihembus di setiap telinga dan daya sedar kita.

Dari catatan dan luahan rakyat masih menyangkut harapan buat kita untuk kembali memimpin. Namun kita perlu jujur dan ikhlas untuk menerima hakikat akan keberadaan kita di tengah-tengah gelombang persepsi.

Manakala persepsi itu pula akan berubah kepada yang baik sekiranya kita melakukan perekayasaan, membetulkan kepincangan dan kelemahan serta membuat pengorbanan yang mulia.

Saya yakin dengan “cara UMNO” (UMNO’s way) untuk kembali menawarkan sesuatu yang segar kepada rakyat bagi kembali memimpin negara.

Cara UMNO ialah memahami isyarat rakyat, musyawarah dalam semangat kesatuan agar parti tidak berpecah, mengatur jalan penyelesaian berhemah dan beradab, dan memelihara maruah parti dan pemimpin serta ahlinya.

Dinamika politik yang pantas pasti menangkap daya fikir pemimpin UMNO dan BN untuk melakukan perubahan.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sampai mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri” ( Al-Ra’d:11)

Peninju agung Muhammad Ali pernah berkata: “A Man who views the world the same at fifty as he did at twenty has wasted thirty years of his life” (seorang manusia yang masih berfikir sewaktu dia berusia 20 tahun perkara yang sama ketika sudah mencapai usia 50 tahun, bermakna dia telah membazirkan 30 tahun kehidupannya).

Perubahan zaman yang ada di hadapan kita memerlukan keberanian kita untuk menyegarkan UMNO sesuai dengan zaman kini.

Suara rakyat dan keinginan mereka perlu didengari sepanjang zaman. Itulah ramuan menjadikan UMNO pilihan rakyat selama ini.

Kini kita berhadapan dengan pandemik Covid-19. Kesedihan dan kesusahan rakyat adalah juga kesedihan dan kesusahan kita. Membicarakan ehwal rakyat dan menyalurkan bantuan dan sokongan moral saat kesedihan ini pasti menyentuh jiwa mereka.

Belajarlah dari sejarah jatuh bangun kita. Marilah bersama kita mendengar suara rakyat, suara hikmat.

Parti adalah akar tunjang dalam perjuangan politik. Selamat parti, selamatlah ahli dan matlamat perjuangannya.

Lantaran itu hentikanlah perbalahan dalaman dan luaran. Kembalilah atas nama perjuangan yang satu. Maka peranan kepimpinan dalam hal ini, Almarhum Pak Tenas Effendi pernah mengungkapkan:

Tempat kusut diselesaikan
Tempat keruh dijernihkan
Tempat sengketa disudahkan
Tempat hukum dijalankan

Mari bersama kembalikan panji “UMNO Pembela Rakyat, Pembangun Negara”.
Selamat Ulangtahun ke-75 UMNO. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.