COVID-19 Suatu Ujian… Kayu Ukur Ketaatan Mengesakan Allah – Azhari

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ujian yang menimpa ketika ini merupakan kayu ukur kepada ketaatan dalam mengesakan Allah, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Jelasnya, ujian ini termasuklah apabila penularan wabak COVID-19 belum menunjukkan tanda-tanda berakhir malahan mencatatkan angka yang semakin membimbangkan.

“Setelah berpuluh tahun, beribu hari, beratus ribu jam, berjuta minit dan berbilion saat diberi nikmat kehidupan, kita sebagai insan sewajarnya berasa syukur kepada Allah.

“Bukan kita tidak pernah diuji sebelum ini melibatkan kesakitan, kehilangan, kerugian malah kegagalan.

“Sesungguhnya Allah menguji kita dengan COVID-19 dan kesakitan malahan kematian untuk melihat siapa antara kita yang paling bertakwa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Azhari, Allah Maha Melihat usaha yang dilakukan hambaNYA sama ada redha dengan ketentuan dan mengalah atau mencari solusi atau jalan untuk menyelesaikannya.

“Setiap sakit ada ubatnya, maka berusaha untuk kita menerima vaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinopharm.

“Jika kita berasa tidak yakin disebabkan mempunyai sakit kronik seperti jantung, diabetes dan lain-lain rujuklah doktor pakar untuk rawatan lanjut.

“Mengambil sikap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tetapi tidak mahu mengambil vaksin pun tidak boleh juga. COVID-19 bukan sebarang virus kerana ia mempunyai varian yang tertentu dan ini amat kita bimbangi menular ke dalam sistem komuniti di sebalik kita berhati-hati daripada dijangkiti,” tegas beliau.

Beliau juga mengharap umat Islam di negara ini untuk memanfaatkan malam terakhir Ramadan untuk mendoakan kesejahteraan negara dan rakyat untuk kembali menikmati kehidupan sebelum penularan pandemik ini.

“Semalam kita meraikan malam tujuh likur maknanya lagi tiga hari kita akan menyambut Aidilfitri.

“Berdoalah kita agar kita kembali kepada fitrah kehidupan normal tanpa perlu memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri ke masjid atau perlu mengimbas QR Code My Sejahtera.

“Namun sementara itu anggaplah ia sebagai norma baharu hidup kita. Sesungguhnya itulah vaksin terbaik untuk kita bersangka baik atau husnuzon dengan takdir yang tertulis… insya-Allah kita sedang diuji,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.