9 Mei 2018 Bawa Muhasabah Kepada UMNO, Ujian Menempuhi Perjuangan Membela Nasib Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Tiga tahun berlalu, sejak 9 Mei 2018 memberikan tamparan yang hebat buat parti keramat UMNO menempuhi ujian dalam perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara, kata Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias.

Jelasnya, berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu membuka pintu baharu untuk UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) untuk menilai kembali ujian ini apatah lagi pada detik itu beberapa hari kemudiannya UMNO menyambut ulang tahun penubuhannya.

“Ironinya, tarikh 9 Mei ini hanyalah beberapa hari sahaja sebelum tarikh ulang tahun UMNO pada 11 Mei. Dan tahun ini UMNO bakal menyambut ulang tahun Jubli Emas yang ke-75.

“Saya menganggap, apa yang berlaku pada tarikh itu adalah sebagai satu teguran daripada Allah dan satu amaran daripada rakyat. UMNO perlu sentiasa bermuhasabah, perlu sentiasa memperbaiki diri, perlu sentiasa perbetulkan kesilapan dan perlu sentiasa realistik dengan situasi politik pada hari ini.

“Tapi satu perkara yang saya pasti dan saya sentiasa sebutkan. Tidak kira dimana UMNO berada, perjuangan UMNO adalah sentiasa bertunjangkan kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya walaupun UMNO dilanda badai ketika itu, namun beliau bersyukur kerana diberi amanah oleh rakyat di Jelebu untuk menjadi pemimpin mereka.

“Alhamdulillah saya masih memperoleh kepercayaan daripada rakyat di Jelebu malah saya sentiasa sematkan di dalam hati, saya berjanji kepada diri sendiri, mandat, amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Jelebu ini tidak akan pernah sesekali saya persiakan.

“Suka saya hendak imbas kembali apa yang berlaku 3 tahun yang lalu. Perkara yang tidak pernah terlintas di fikiran saya, perkara yang saya tidak pernah jangkakan dengan kejatuhan BN. Tidak ada kata yang mampu diungkap untuk menggambarkan perasaan pada ketika itu. Air mata yang tidak mampu ditahan.

“Saya percaya, ramai diluar sana terutamanya pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang mempunyai kenangan mereka tersendiri pada tarikh ini. Saya tidak mengatakan pilihan yang dibuat oleh rakyat itu salah. Itu adalah hak rakyat. Rakyat telah memilih. Dan kita perlu terima pilihan rakyat dengan redha walaupun pahit,” katanya.

Tambah Jalaluddin meskipun pelbagai cabaran dilalui namun asas perjuangan parti ini masih perlu didokong bagi menjaga kemaslahatan rakyat di negara ini.

“Itu adalah identiti UMNO yang tidak boleh dihilangkan, perjuangan yang menjadi asas sejak UMNO ditubuhkan. Dan saya pasti, ramai rakyat di luar sana yang rindukan kestabilan sewaktu UMNO Barisan Nasional memerintah dahulu.

“Apa pun yang akan berlaku esok hari, tidak akan pernah ada siapa yang boleh jangkakan.Apa yang kita boleh lakukan adalah sentiasa berdoa dan berharap yang terbaik untuk rakyat dan negara kita yang tercinta, dan semoga negara kita akan segera menang dalam perjuangan menentang COVID-19 ini… insya-Allah,” jelas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.