Malaysia Sekat Kemasukan Pengembara Bangladesh, Pakistan, Nepal, Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kerajaan menyekat warganegara dari Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka daripada memasuki Malaysia, susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India berikutan kebimbangan penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekatan tersebut melibatkan semua kategori pemegang pas lawatan sosial jangka panjang, pelawat perniagaan antarabangsa dan lawatan sosial.

“Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada pemegang pasport diplomatik dan rasmi seperti yang diperuntukan dalam Konvensyen Vienna Berkenaan Hubungan Diplomatik pada 1961,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) semalam.

Beliau menjelaskan kategori berkenaan dipertimbangkan untuk memasuki Malaysia dengan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

Pada 27 April lalu, kerajaan melaksanakan sekatan sementara kemasukan pengembara, pelajar antarabangsa warga India dan pelawat perniagaan antarabangsa ke Malaysia bagi mengelak penularan varian baharu COVID-19 dari negara itu. – BERNAMA