2,448 Fasiliti Swasta Daftar Sebagai PPV, 299 Sedia Operasi

SEREMBAN, 6 Mei – Sebanyak 2,448 daripada keseluruhan 8,000 hospital dan klinik swasta di negara ini telah mendaftar sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu 2,233 telah menandatangani surat persetujuan dengan 299 daripadanya sudah bersiap sedia memulakan operasi sebagai PPV.

Beliau berkata penglibatan klinik berkenaan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk dalam soal menguruskan latihan serta pengendalian urusan suntikan vaksin.

“Mereka juga mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk menjalankan suntikan berkenaan, yang diberikan secara percuma kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program itu di fasiliti swasta di sini hari ini.

Menurutnya melalui penglibatan PPV di fasiliti swasta, program vaksinasi yang sedang dilaksanakan akan sampai kepada semua masyarakat di seluruh negara dengan lebih menyeluruh.

“Pada fasa ketiga nanti, kita perlu lebih banyak klinik swasta sebagai PPV dan mereka yang membuat permohonan perlu mempunyai peti penyejuk beku untuk menyimpan vaksin, selain petugas dilatih mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Sementara itu Dr Adham berkata melalui kajian dilaksanakan KKM terhadap 15,000 responden April lepas, 88 peratus rakyat negara ini bersetuju dan bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurutnya 10 peratus lagi tidak bersetuju, dan selebihnya tidak pasti susulan wujud kebimbangan mengenai tahap keselamatan dan mahu melihat kesan vaksin itu kepada individu lain terlebih dahulu.

Beliau berkata keadaan itu sedikit mengganggu kelancaran kakitangan KKM dalam melaksanakan tugas mereka bagi menjayakan pelaksanaan program vaksinasi yang sudah memasuki fasa kedua ketika ini.

Ditanya mengenai warga emas yang tidak menghadiri janji temu untuk suntikan vaksin, beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersetuju menggerakkan jentera bagi urusan pengambilan mereka di alamat yang didaftarkan. – BERNAMA