Penularan COVID-19 Makin Membimbangkan, Apa Kerajaan Buat Dengan Darurat? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan menuding jari kepada rakyat menjadi punca kepada peningkatan pandemik COVID-19 di negara ini tidak sepatutnya berlaku.

Jelasnya, ini kerana langkah kerajaan yang bertindak melonggarkan beberapa sektor menyebabkan kebanyakan daripada rakyat sudah pun kembali bekerja.

“Kita tidak boleh menunding jari sepenuhnya kepada anggota masyarakat. Jika tidak mereka akan kehilangan segala-galanya. Majikan telah memanggil pekerja kembali ke tempat kerja. Jika enggan hadir boleh dipecat.

“Bank yang tidak pernah rugi walaupun selepas moratorium automatik dilaksanakan telah kembali menuntut bayaran,” katanya.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, pihak majikan pula perlu mengarahkan pekerja untuk kembali bekerja bagi mengoperasikan semula perniagaan mereka.

“Jika tidak perniagaan mereka ‘out‘. Jika itu berlaku apa pun tak boleh? Majikan dan pekerja langsung hilang sumber pendapatan,” ulas beliau.

Jelas Ahmad Zahid lagi, peningkatan kes penularan saban hari juga makin membimbangkan dengan penggunaan katil kritikal unit rawatan rapi (ICU), COVID-19 telah melebihi 70 peratus di beberapa buah hospital di Lembah Klang.

“Jadi apa langkah yang akan diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejajar dengan permasalahan dan punca-punca yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini?

“Setakat ini masih tiada keputusan konkrit mengenainya walaupun di Malaysia pernah mencecah lebih 4,000 kes sehari,” tegas ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Katanya lagi, tiada fungsi pelaksanaan Proklamasi Darurat ini sekiranya tiada langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan untuk melandaikan penularan wabak ini.

“Bukan mahu mengungkit, tetapi realitinya kes jangkitan mencanak naik ini berlaku dalam tempoh pelaksanaan Ordinan Darurat.

“Perintah darurat yang sepatutnya membendung penularan COVID-19 bermula Januari lalu.

“Sebab itu sebelum ini saya mempersoalkan keadaan ini tidak padan dengan titah Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.