Mosti Bincang Dengan Citf Selesai Isu Pendaftaran Astrazeneca – Khairy

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Individu yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin AstraZeneca tetapi belum menerima notis temu janji rata-ratanya kerana mereka memasukkan nombor kad pengenalan yang tidak sepadan dengan pendaftaran MySejahtera sebelum ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin ketika memaklumkan perkara tersebut berkata MOSTI akan berbincang dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Setelah kita semak, kita dapati kebanyakan mereka telah melakukan typo pada nombor kad pengenalan ketika mendaftar untuk mendapatkan AstraZeneca, jika nombor kad pengenalan tidak padan kita tidak boleh teruskan,” katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama pemberian vaksin COVID-19 AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata bagi mereka yang telah memasukkan nombor kad pengenalan dengan betul, tetapi masih tidak menerima notis janji temu boleh menghantar e-mel kepada kementerian bagi menyelesaikan masalah pendaftaran tersebut.

Sementara itu, Khairy berkata individu terlibat dalam suntikan vaksin percubaan AstraZeneca tiga hari lepas setakat ini hanya mengalami simptom demam sahaja.

Mengulas lanjut mengenai kebenaran rentas daerah atau negeri bagi mereka yang mempunyai janji temu penerimaan vaksin, Khairy berkata arahan telah diberi kepada para petugas keselamatan supaya melepaskan mereka terlibat ke PPV ditentukan.

Beliau juga akan memaklumkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar ahli keluarga dibenarkan mengiringi mereka terutama warga emas untuk mendapatkan vaksin tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.