Ziarah Aidilfitri Di Kawasan PKP Hanya Pada 1 Syawal

PUTRAJAYA, 4 Mei – Aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut 13 Mei ini, hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah kehadiran tetamu adalah tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa, mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pula, beliau berkata aktiviti ziarah dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal.

“Bagi kawasan PKPB, kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal manakala kawasan PKPP, ziarah dibenarkan dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata mereka yang tinggal di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan menerima kunjungan tetamu luar dan hanya terhad kepada keluarga di dalam rumah sahaja.

Dalam memastikan penularan wabak COVID-19 terkawal, beliau berkata tuan rumah digalakkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu badan, menggunakan imbasan QR MySejahtera atau menyediakan buku bagi mencatat nama dan nombor telefon tetamu.

Sementara itu, kerajaan turut membenarkan takbir raya di masjid dan surau di kawasan PKP, PKPB dan PKPP mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri, namun bagi kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan.

Mengenai solat sunat Hari Raya pula, Ismail Sabri berkata ibadah itu dibenarkan berlangsung di masjid dan surau bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP sahaja dengan jumlah kehadiran serta penyertaan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak adalah mengikut ketetapan pihak berkuasa negeri, kecuali di kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, aktiviti jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau, rumah terbuka, ziarah tanah perkuburan turut tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, jamuan selepas solat Hari Raya di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya, menambah jawatankuasa masjid atau surau digalakkan menyediakan juadah secara berbungkus dan diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Beliau berkata ziarah pusara hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP dengan had tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur, serta tidak melebihi 30 minit, namun aktiviti itu tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

Selain itu, penganjuran sebarang majlis atau rumah terbuka Hari Raya bagi semua kawasan PKP, PKPB, PKPD dan PKPP adalah tidak dibenarkan, katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana individu untuk merentas negeri khususnya pada musim perayaan ini, kecuali atas faktor yang dibenarkan seperti kes kecemasan.

Tegas beliau, kebenaran rentas negeri atas faktor kecemasan seperti menziarahi kematian atau ahli keluarga nazak, urusan bekerja dan pasangan jarak jauh adalah dibenarkan.

“Kuasa untuk menahan sesiapa yang melanggar larangan rentas negeri diberikan kepada polis di sekatan jalan raya… saya percaya tiada pengecualian diberikan kecuali dengan kebenaran surat rentas negeri.

“Cuma saya difahamkan kadang-kadang timbul isu kesahihan maklumat atau alasan untuk rentas negeri membuatkan permohonan mereka tak diluluskan,” katanya, menambah polis menerima sebanyak 40,000 permohonan rentas negeri setiap hujung minggu.

Bagaimanapun, susulan pengumuman pelajar berasrama kecuali di kawasan PKPD dibenar pulang beraya, beliau berkata ibu bapa yang mengambil anak mereka di asrama selain individu menghadiri proses vaksinasi adalah dibenarkan namun perincian SOP kelonggaran tersebut akan diumumkan kelak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.