PKP Di Enam Daerah Di Selangor Bermula Khamis – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 4 Mei – Enam daerah di Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei sehingga 17 Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata enam daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang manakala baki tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal dengan status PKP Bersyarat (PKPB).

“Dalam mengekang COVID-19 kerajaan sentiasa menilai semula arahan PKP khususnya di negeri yang mencatatkan kes positif secara mendadak.

“Kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor telah membentangkan untuk pelaksanaan PKP di Selangor,” katanya dalam sidang media mengenai PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata pergerakan merentas negeri dan daerah di enam daerah yang dikenakan PKP di Selangor tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan seperti kes kematian.

Beliau berkata keputusan pelaksanaan PKP itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dengan Selangor mencatatkan jumlah kes harian tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei.

Ismail Sabri berkata bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Mengenai Gelembung Pelancongan Bersasar dari negeri PKPP ke negeri PKPP bagi tujuan pelancongan menggunakan agensi pelancongan yang diumumkan sebelum ini, beliau berkata kerajaan membuat keputusan menggantung kebenaran merentas negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti pelancongan dalam negeri PKPP adalah dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Rumah Panjang Mathew di Sarikei, Sarawak dan Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height, Lahad Datu, Sabah akan ditamatkan esok seperti dijadualkan selepas mencatatkan penurunan kes COVID-19.

Selain itu, PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Pakan di Sarikei, Sarawak yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan bermula 6 Mei sehingga 19 Mei 2021 susulan peningkatan kes.

Mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), beliau berkata seramai 301 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 293 individu dikompaun manakala lapan individu direman.

Antara kesalahan yang dilakukan membabitkan kegagalan merekod butiran diri/daftar masuk premis (127 kes), tidak memakai pelitup muka (70), tiada penjarakan fizikal (19 kes) dan lain-lain (85 kes). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.