Kerusi DUN Melor Diisytihar Kosong

KOTA BHARU, 3 Mei – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Melor susulan kematian penyandangnya Dr Md Yusnan Yusof pada 30 April lepas.

Abdullah mengumumkan perkara itu selepas menerima sijil kematian Allahyarham dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata pihaknya akan membuat pemakluman atau menghantar surat secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada SPR untuk memutuskan sama ada Pilihan Raya Kecil diadakan atau sebaliknya.

“Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan apabila berlaku kekosongan kerusi mana-mana DUN dalam negeri ini, maka saya akan memaklumkan atau menghantar surat secara rasmi kepada SPR memaklumkan tentang kekosongan sesuatu kerusi.

“Dalam tempoh 60 hari daripada tarikh SPR mendapati kerusi tersebut kosong, maka SPR perlu mengisi kekosongan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, dekat sini, Jumaat lepas pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Md Yusnan memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.