Peniaga Bazar Di Kawasan PKP Perlu Diberi Pembelaan Sewajarnya

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pemuda UMNO Alor Setar dan Kedah amat bersimpati dengan situasi dan nasib yang dihadapi oleh peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi negeri tersebut.

Ujar Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri Syed Mohd Johan Rizal, setidaknya diharapkan kerajaan negeri yang sering melaungkan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua mestilah berikhtiar mencari jalan untuk sediakan sedikit pampasan atau kembalikan separuh duit bayaran tapak niaga yang sudah dibayar penuh untuk sebulan buat peniaga-peniaga yang pastinya terjejas.

“Setidaknya juga sepatutnya dari awal sebelum Ramadan pihak berwajib wajarlah peka dengan jangkaan gelombang gelombang virus ketiga dan keempat bakal melanda agar keputusan yang tepat dibuat untuk tidak terus membuka bazar-bazar ini supaya tidaklah mereka ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Ini disebabkan para peniaga tidak dibenarkan lagi menjalankan operasi sehingga raya kedua…14 hari semuanya… Keluh-kesah marhein sama ada di Alor Setar atau di mana sahaja sudah dideritai setahun lamanya…sejak Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan yang bertunjangkan mahu bela ummah dan Selamatkan Malaysia.

“Tapi realiti yang dihadap kini… Masa depan rakyat kian suram, kabur dan kelam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau memberi reaksi demikian apabila melihat pengusaha bazar di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar yang menjual pelbagai jenis baju kurung, baju Melayu, tudung dan samping yang sudah berbelanja banyak dibelenggu gelisah.

Katanya, mereka seakan tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan pengumuman PKP dibuat kelmarin tetapi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) tentang aktiviti niaga dan jualan belum diperincikan hinggga ke hari ini.

“Ada yang membisu tak termampu berkata apa-apa. Ramai yang lain dah berputus asa.

“Ada seorang pengusaha yang ditemui sudah keluarkan belanja lebih RM100 ribu bagi tujuan modal dan bayaran tapak selama sebulan. Seorang lagi dah habis modal RM70 ribu. Kini mereka hanya mampu termangu bawah pokok berdekatan bazar berkenaan,” katanya lagi.

Jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu juga pada Jumaat ia diumumkan dan Sabtunya Alor Setar yang terletak dalam daerah Kota Setar terus dikuatkuasakan PKP bersama empat daerah yang lain.

“Tidak ada ruang dan garis masa diberikan. Tidak pula disediakan alternatif bagaimana ribuan penjaja Bazar Ramadan dan penjual songkok dan butang baju Melayu yang sekadar mencari sekupang dua dapat terus meniaga dalam kapasiti SOP diperketatkan.

“Walhal kes di seluruh negeri Kedah hanya mencatat tiga angka di bawah 200 berbanding Pulau Pinang dan Selangor melebihi empat angka namun kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujarnya.

Begitu juga jelasnya, dalam masa yang sama sejak lebih 18 hari berpuasa, Bazar Ramadan dan Aidilfitri beroperasi sama ada di perkarangan stadium, di Taman Wira, Simpang Kuala, Taman Nuri, Simpang ke Mydin, Simpang Empat Kangkung, Kota Sarang Semut, Kuala Sungai, Jalan Putra, Pekan Kuala Kedah, Simpang Alor Janggus dan banyak lokasi yang lain belum kedapatan penularan COVID-19 dari kluster Bazar, terawih atau kluster edaran bubur kanji di depan surau atau masjid.

“Kini akibat tindakan dan keputusan yang entah mengambil kira semua sudut atau tidak itu dilihat tergesa-gesa menitikkan airmata Syawal berlinang lebih awal buat marhaen, penjaja Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kawasan dikenakan PKP,” kesalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.