Parlimen Ditutup… Tidak Sihat Jika Hanya Media Sosial Jadi Tempat Bersidang

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Fadwa Anuwar berkata hari-hari kedengaran pelbagai isu yang melingkari di negara ini.

Antaranya katanya seperti Kluster COVID-19, harga ayam naik mencanak, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekejap buat sekejap tidak, pengagihan laptop, gurauan istilah rogol, duit Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), pengangguran, pelaburan asing (FDI), vaksin, kompaun langgar prosedur operasi standard (SOP) dan lain-lain lagi.

Tetapi ujarnya, semua itu hanya mampu dibahaskan dalam media sosial kerana  Parlimen tidak bersidang dan ia sesuatu yang tidak sihat.

“Parlimen merupakan lambang sebuah negara praktis Demokrasi. Di situlah wakil yang telah dipilih oleh rakyat berbincang dan mencari jalan untuk selesaikan masalah rakyat dan negara.

“Politik ini untuk rakyat, bukan soal siapa kerajaan siapa pembangkang. Politik juga bukan perniagaan, tiada istilah untung rugi.

“Jika politik bagus, rakyat senang negara maju. Jika politik ke laut, rakyat susah negara mundur. Sifir mudah,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, beliau menggesa agar Parlimen dibuka dan bersidang seperti biasa.

“Kalau takut sangat sebab 60% Ahli Parlimen sudah berusia, pakailah pakaian pelindung diri (PPE) masa bersidang.

“Yang penting, dengar isu rakyat. Rakyat tengah susah sekarang ni. Janganlah terlalu seronok dengan kuasa.

“Ingat, kuasa itu rakyat yang bagi. Kalau buat baik dengan rakyat, 50 tahun lagi pun kekal jadi kerajaan. Kalau tak, sendiri makan pengat sendiri mau ingatlah bang,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.