Mansuh UPSR, Batal PT3: Harap Keputusan Tidak Flip Flop Seperti PdPR, PKP

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini dan berdasarkan kenyataan Menteri Pendidikan, pemansuhan itu dilakukan hasil libat urus yang membabitkan 1,700 guru, ibu bapa, murid, kesatuan dan persatuan dalam pendidikan.

Bagi pihak guru, pemansuhan dirasakan wajar kerana mereka memerlukan banyak masa di sekolah bagi menghabiskan sukatan pelajaran selain ada yang terpaksa mencuri masa matapelajaran lain.

Di pihak ibu bapa, mereka perlu memberi tumpuan kepada anak-anak menghadapi UPSR sehinggakan ada yang berdepan ruang masa yang terhad dan anak-anak juga dikatakan mula dihantar ke tuisyen seawal usia 7 tahun.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan apabila pemansuhan dilaksanakan, ia perlu dilakukan secara berkesan.

Tambahnya, perlu memikirkan mekanisma dan penilaian terbaik sebelum murid memasuki sekolah menengah atau sekolah berasrama penuh.

“Bagi pelajar yang memasuki tingkatan empat, apakah mekanisma yang diperlukan untuk membahagikan mereka ke aliran sains tulen, perakaunan, perdagangan dan sebagainya.

“Saya difahamkan setakat ini kaedah yang digunakan adalah pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK). Lebih penting jangan flip flop seperti yang dilakukan ke atas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jangan jadi telur separuh masak lagi.

“Bukan apa cuma bimbang, hari ini mansuhkan UPSR dan batalkan PT3. Apabila hasilnya tidak memberangsangkan berpatah semula kepada peperiksaan asal. Pada waktu itu mungkin sedikit malu apatah lagi ada dalam kalangan netizen sudah membuat poster UPSR 1988-2021 dalam kenangan. Apa yang kita tidak mahu, ia akan memeningkan golongan guru serta murid, harapnya tidak begitu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Ahmad Zahid juga meninjau beberapa komen di media sosial yang bersetuju dengan pemansuhan berkenaan.

“Besar harapan agar pemansuhan ini menjadi permulaan dan pengurangan terhadap kebergantungan sistem peperiksaan sebagai penilaian.

“Penilaan seharusnya tidak tertumpu kepada kognitif semata-mata tetapi domain yang lain perlu diberi penekanan. Dalam bahasa yang mudah tingkatkan asas kemahiran bagi melahirkan modal insan cemerlang.

“Fokus, tumpuan dan perhatian yang lebih terbaik harus diberikan kepada setiap murid, jangan sampai ada di kalangan mereka yang ketinggalan serta tidak dapat menguasai dalam setiap matapelajaran,” katanya lagi. – UMNO ONLINE