Siasat Tuduhan KPN, Tubuh Segera RCI – Puad

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador membuat dakwaan terbuka dengan menuduh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin campur tangan urusan kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai yang bermasalah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ujarnya, Abdul Hamid juga membuat banyak tuduhan lain termasuk isu ‘katak’ yang dikaitkan dengan rasuah.

“Hamzah Zainuddin pula tidak menafikan audio mirip suara beliau adalah tulen. Isu pokok yang perlu diselesaikan ialah tuduhan IGP (Ketua Polis Negara) dan butiran dalam audio tersebut.

“Justeru Suruhanjaya Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut. Ini kerana PDRM (Polis Diraja Malaysia) adalah agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal untuk negara.

“Ia mesti didokong kuat oleh pegawai yang profesional dan berintegriti. Barulah keadilan dan keselamatan terjamin,” tegasnya dalam satu entri di Facebook.

Tetapi tambahnya, apabila Abdul Hamid menuduh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari oleh unsur politik, maka kredibiliti PDRM tercemar.

“Apa maksud Hamid Bador, “Bahaya sekarang ini. Dia (Hamzah) bawa mesin pengorek buat jalan baru ke?”

“Apa yang bahaya? Segerakan RCI. Segerakan sidang parlimen,” gesanya lagi.

Semalam, dalam sidang media terakhir sebelum bersara, Abdul Hamid meluahkan ketidakpuasan hati berhubung campur tangan menteri terhadap PDRM termasuk berkata Pengerusi SPP perlu diterajui oleh golongan profesional dan bukannya ahli politik kerana baginya orang politik cenderung untuk menggunakan PDRM demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.

Begitu juga Abdul Hamid menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik lompat parti bagi mendapatkan habuan.

Untuk rekod, semalam juga Hamzah yang juga Setiausaha Agung PPBM mengumumkan pelantikan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 4 Mei ini, bagi menggantikan Abdul Hamid yang menyandang jawatan tersebut dari 4 Mei 2019 hingga 3 Mei ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.