Rasuah Dan Katak Politik: Walau Terlewat, Dakwaan KPN Amat Serius

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kaitan rasuah dengan budaya lompat parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini amat serius walaupun agak terlambat, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, ia amat serius kerana didedahkan oleh seorang Ketua Polis Negara yang mengesahkan tanggapan umum bahawa Kerajaan PN hari ini banyak terpalit dengan pelbagai aktiviti jual-beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa di kala rakyat sedang tenat bertarung nasib untuk kelangsungan hidup mereka seharian.

“Agak terlambat kerana Ketua Polis Negara hanya bersuara ketika diambang pengakhiran kontrak beliau, sedangkan;

“Rasuah yang terkait dengan lompat parti sudah bermula di zaman Pakatan Harapan (PH) apabila ramai yang diugut dan ditekan dengan pelbagai kes mahkamah, cukai bahkan ditawar dengan pelbagai ganjaran untuk lompat parti menyertai PPBM bagi perkukuh Kerajaan PH,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya, tindakan tersebut diteruskan pula di zaman PN apabila ramai disucikan daripada pendakwaan dan penyiasatan bahkan secara terang-terangan merealisasikan agenda ‘Scheme of Thing’ yang dikaitkan dengan audio pemimpin tertinggi Kerajaan PN dengan pelbagai tawaran kedudukan dan posisi penting kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Walaubagaimanapun tegas Dr Asyraf, sebelum ‘nasi menjadi bubur’, amat wajar sekali pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera dan serius tanpa takut bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk bukan sahaja rakyat tetapi masyarakat antarabangsa betapa bobroknya budaya rasuah politik yang mampu menjahanamkan Malaysia tercinta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.